DJOKOVIC ketika mengunjungi sebuah taman di Visoko. FOTO AFP
DJOKOVIC ketika mengunjungi sebuah taman di Visoko. FOTO AFP
AFP

Visoko: Pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic berkata dia berharap dapat beraksi dua kejohanan lagi sehingga hujung musim ini iaitu di Vienna dan London sekali gus mengekalkan ranking teratas.

"Saya akan beraksi pada Kejohanan Vienna yang pada awalnya tidak berada dalam jadual asal," kata Djokovic.

Dia bercakap ketika mengunjungi sebuah taman kesihatan di Bosnia untuk menjalani proses pemulihan selepas tewas kepada Rafael Nadal pada final Terbuka Perancis, Ahad lalu.

"Saya tidak beraksi di Vienna selama 15 tahun, jadi saya amat gembira dapat kembali semula," katanya.

Bintang Serbia berusia 33 tahun itu berkata, London Masters yang bermula 15 November depan adalah kejohanan kedua dan terakhir akan disertainya pada musim ini.

"Musim ini berlangsung sekejap-sekejap, berbeza dan pelik. Pada masa sama ia memberi banyak kejayaan kepada saya dan saya amat berpuas hati dengan setiap perlawanan, mata dan ranking.

"Saya berharap selepas baki beberapa bulan musim ini, saya dapat menamatkan kempen selaku pemain nombor satu dunia.

"Inilah sasaran saya dan akan bekerja keras mencapainya. Segala-galanya bergantung kepada saya," katanya.

Menduduki ranking pertama sejak 3 Februari, Djokovic kini mengumpul lebih 1,890 mata mengatasi Nadal dalam senarai ATP.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 11:54 AM