SCHUMACHER menjadi pilihan Vettel selaku pemandu terbaik sepanjang zaman berbanding Hamilton. FOTO NSTP
SCHUMACHER menjadi pilihan Vettel selaku pemandu terbaik sepanjang zaman berbanding Hamilton. FOTO NSTP
Agensi

Berlin: Sebastian Vettel memilih Michael Schumacher berhubung perdebatan siapakah pemandu Formula Satu (F1) terbaik sepanjang zaman.

Dengan Lewis Hamilton bakal menyamai rekod juara dunia tujuh kali milik legenda Jerman itu, timbul persoalan siapakah lebih baik berbanding mereka berdua.

Vettel menganggap Schumacher mengatasi Hamilton kerana bakat semulajadi yang ada pada rakan senegaranya itu.

"Saya rasa dia (Schumacher) lebih baik berbanding mana-mana pemandu yang pernah saya lihat setakat ini. Saya rasa dia mempunyai bakat semulajadi yang sukar untuk dijelaskan.

"Jika anda melihatnya membawa jentera, anda dapat saksikan dia mempunyai lebih kemahiran dalam mengawal jentera. Dia mempunyai bakat semulajadi yang saya tak pernah lihat ada pada pemandu lain.

"Selain itu, dia mempunyai etika kerja yang sangat bagus. Tapi bagi saya, ia adalah kombinasi kedua-dua faktor itu yang memberi kejayaan kepadanya," katanya.

Schumacher memenangi tujuh gelaran juara dunia sepanjang bersama Benetton dan Ferrari sebelum berhijrah ke Mercedes dan kemudian Hamilton menggantikan tempatnya.

Hamilton yang sudah memenangi gelaran juara dunia sebanyak enam kali, kemudian menamatkan dominasi Vettel.

Sensasi Jerman itu muncul juara dunia empat kali berturut-turut dalam usahanya menyamai rekod Schumacher, namun Mercedes dan Hamilton mula mendominasi saingan sejak 2014.

"Schumacher akan sentiasa menjadi idola saya," kata Vettel.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 1:15 PM