Nazrulerwan Makmor memberi arahan kepada pemainnya pada sesi latihan pasukan. FOTO Ihsan KUFC
Nazrulerwan Makmor memberi arahan kepada pemainnya pada sesi latihan pasukan. FOTO Ihsan KUFC
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kelantan United FC (KUFC) meletakkan sasaran untuk mara ke suku akhir pada penampilan sulung mereka dalam kempen Piala Malaysia berlangsung dari 6 hingga 22 November ini.

Ketua jurulatih KUFC Nazrulerwan Makmor berkata, dalam tempoh kurang tiga minggu menjelang saingan berprestij itu, fokus akan diberikan untuk memperkemas posisi tengah dan jentera serangan pasukan bimbingannya.

"Apabila diberi kepercayaan untuk mengemudi pasukan ini, saya tahu ia menjadi tugas mencabar dan tanggungjawab besar sebab ini pasukan yang mempunyai penyokong hebat dan fanatik di negeri Kelantan," katanya.

Bekas pemain kebangsaan itu menggantikan Zahasmi Ismail yang direhatkan pengurusan KUFC pada September lalu, susulan prestasi hambar pasukan dalam saingan Liga Perdana musim ini.

KUFC layak ke saingan Piala Malaysia apabila menduduki tangga kelima Liga Perdana selepas mengumpul 15 mata daripada 11 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 9:13 PM