MISBUN (kiri) beri arahan kepada salah seorang pemain remaja negara. FOTO BA Malaysia
MISBUN (kiri) beri arahan kepada salah seorang pemain remaja negara. FOTO BA Malaysia
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Perubahan modul latihan kepada barisan pemain pelapis skuad badminton negara jelas memberi impak positif apabila masing-masing menunjukkan prestasi memuaskan walaupun terpaksa berehat dalam tempoh yang lama akibat penularan Covid-19.

Perkara terbabit disahkan Pengarah Teknikal Skuad Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Misbun Sidek apabila melihat Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan diadakan secara tertutup di Stadium Juara Bukit Kiara sejak beberapa hari lalu menunjukkan pemain muda masih lagi boleh mengekalkan momentum dengan mengikuti corak latihan diterapkan kepada mereka.

Beliau berkata, walaupun tiada pertandingan kompetitif dianjurkan dalam tempoh hampir setahun namun pemain menunjukkan komitmen tinggi mempamerkan aksi terbaik sekali gus memberi gambaran positif dalam membentuk skuad lebih mantap pada masa depan menerusi gandingan pelapis yang memiliki semangat juang tinggi.

"Secara keseluruhan, Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan sangat bagus. Kita dapat mengkaji kelemahan pemain dan menambah baik beberapa perkara dalam usaha membina kriteria pemain yang diinginkan untuk menggalas cabaran negara pada masa hadapan.

"Pada masa sama, jurulatih juga memainkan peranan apabila berjaya menerapkan modul latihan baharu kepada pemain berikutan penularan Covid-19 menyebabkan pembabitan mereka dalam pertandingan kompetitif agak terhad," katanya.

BAM sebelum ini mengesahkan akan meneruskan saingan Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan yang diadakan secara tertutup di Stadium Juara Bukit Kiara walaupun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkata pihaknya sudah pun mendapat lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk meneruskan saingan berkenaan memandangkan ia boleh dianggap sebagai sebahagian daripada latihan skuad remaja kebangsaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 6:45 AM