BRAMBLE bekerja sebagai pemandu penghantaran selepas tidak dapat menjalani latihan sebelum ini. FOTO Twitter Dan Bramble
BRAMBLE bekerja sebagai pemandu penghantaran selepas tidak dapat menjalani latihan sebelum ini. FOTO Twitter Dan Bramble
Agensi

London: Atlet lompat jauh British kembali menyimpan impian untuk beraksi di Olimpik selepas meraih ribuan pound menerusi derma daripada orang ramai.

Dan Bramble bertugas sebagai pemandu penghantaran barang selepas kehilangan dana dan menyaksikan kemudahan latihan di London ditutup akibat pandemik Covid-19.

Tetapi kini dia dapat kembali menjalani latihan secara sepenuh masa selepas memperoleh derma lebih £12,000 (RM64,200).

Hampir £9,000 (RM48,200) daripada kesemua jumlah derma itu adalah sumbangan daripada seorang individu.

Juara dalam dewan British berusia 30 tahun itu yang terlepas beraksi di kempen kelayakan Sukan Olimpik Rio 2016, mensasarkan untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo yang ditangguhkan pada tahun depan.

Bramble yang berasal dari Chesterfield, Derbyshire, berkata, wang yang berjaya dikumpul secara dalam talian itu membolehkannya meneruskan misinya.

"Sejujurnya saya tak tahu apa hendak diperkatakan. Terima kasih semua.

"Secara realistik, inilah peluang terakhir saya untuk beraksi di Olimpik dan mahu memberikan impak," katanya.

Bramble berkata, pekerjaan sebagai 'budak penghantar' jelas sukar termasuklah bagi atlet profesional sepertinya kerana perlu melalui banyak pergerakan pada setiap hari.

"Sedar tidak sedar fizikal saya bertambah kuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 12:18 PM