DJOKOVIC tewas kepada Nadal di Terbuka Perancis baru-baru ini. FOTO Agensi
DJOKOVIC tewas kepada Nadal di Terbuka Perancis baru-baru ini. FOTO Agensi
Agensi

Belgrade: Novak Djokovic mengesahkan tidak akan menyertai saingan Paris Masters bulan depan dengan memberi alasan dirinya mengalami 'keletihan mental'.

Pemain nombor satu dunia itu baru-baru ini tewas kepada Rafael Nadal di Terbuka Perancis dan ramai pengkritik menyatakan dia tidak beraksi pada tahap sebenar di pentas final ketika itu.

Sejak itu, Djokovic meluangkan masa mengunjungi Bosnia di mana dia mengesahkan baki saingan yang akan disertai dan sebab di sebalik segala keputusan berkenaan.

"Pada hujung tahun ini saya akan beraksi dua kejohanan, iaitu di Vienna dan London," kata Djokovic kepada Mozzart Sports.

"Saya sudah tidak beraksi di Vienna hampir 15 tahun dan ia adalah kejohanan yang tidak berada dalam kalendar saya, tetapi saya mahu beraksi di sana."

Jelas Djokovic, dia meletakkan sasaran untuk mengekalkan status selaku pemain nombor satu dunia sebaik berakhir saingan musim ini.

"Saya sudah beraksi banyak kejohanan sejak dua bulan setengah lalu. Ditambah saya tidak boleh keluar dan melakukan banyak perjalanan.

"Pertama kerana larangan untuk keluar dan kemudian perlu melalui proses kuarantin ketika menyertai kejohanan. Ia membuatkan saya sangat penat dari sudut mental," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 1:09 PM