HAIQAL puji teknik latihan Miller.
HAIQAL puji teknik latihan Miller.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas 100 meter (m) Sukan Sea 2019 Filipina, Muhammad Haiqal Hanafi mengakui mula serasi berlatih di bawah Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Dwayne Miller di Bukit Jalil.

Menurut pelari pecut negara, biarpun corak latihan diterapkan Miller berbeza berbanding apa dilaluinya sebelum ini tapi ia bukan satu masalah besar.

"Memang sangat berbeza corak latihan beliau (Miller) sebab lebih banyakkan ketahanan dan latihan di gimnasium. Namun, corak latihan diterapkan memang bagus," katanya.

Ujar Haiqal, dia hanya perlu lebih menyesuaikan diri agar dapat momentum dalam larian.

Miller pernah membantu pelari pecut Amerika Syarikat, LaShawn Merritt merangkul dua emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing dalam acara 400m dan 4x100m dengan mencatat rekod Olimpik.

Beliau juga meraih anugerah 'Anugerah Jurulatih Terbaik Nike' dari badan induk atlet olahraga Amerika Syarikat, Trek dan Padang (USATF) pada 2008.

KOM sebelum ini memutuskan untuk memindahkan pusat latihan Haiqal dan seorang lagi atlet pecut yang juga pemenang emas Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur, Khairul Hafiz Jantan ke Bukit Jalil bagi menjalani latihan di bawah bimbingan Miller sejak Julai lalu.

Ia juga sebagai salah satu usaha KOM bagi menguatkan kuartet 4x100m negara.

Kedua-dua mereka sebelum ini berpangkalan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di Johor dan berada di bawah bimbingan jurulatih, Mohd Poad Mohd Kassim.

Sementara itu, ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil, berkata Haiqal dan Khairul Hafiz menunjukkan komitmen tinggi sepanjang sesi latihan bersama atlet pecut terbaik negara yang lain.

"Latihan semua berjalan dengan lancar, tiada sebarang masalah. Semua atlet terbaik pecut kita kumpulkan untuk berlatih bersama sekali gus akan mewujudkan persaingan yang sihat antara mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 6:29 PM