PENG Soon dan Liu Ying sedia patuhi semua peraturan dan SOP ditetapkan BAM.
PENG Soon dan Liu Ying sedia patuhi semua peraturan dan SOP ditetapkan BAM.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Walaupun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ada menetapkan syarat untuk membolehkan beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berlatih bersama di Akademi Badminton Malaysia ia bukan satu halangan besar buat pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu.

Mereka bersetuju dengan syarat ditetapkan bagi membolehkan menjalani latihan bersama skuad kebangsaan bermula esok ketika sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Menurut Liu Ying, mereka sudah berbincang dengan BAM dan akan ikut semua peraturan dan SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan.

"Malah, kami juga sudah melakukan ujian calitan Covid-19 dan keputusannya adalah negatif. Jadi, kami akan teruskan latihan bersama BAM buat sementara waktu ini sehinggalah tamat PKPB," katanya.

Berikutan PKPB yang dilaksanakan kerajaan bermula 14 hingga 27 Oktober ini di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Peng Soon-Liu Ying memohon bantuan BAM untuk membenarkan mereka berlatih bersama skuad kebangsaan.

Ia disebabkan kerana mereka tidak dapat meneruskan latihan selepas tempat dijadikan pusat latihan di Kompleks Endah Parade terpaksa ditutup berikutan PKPB yang dilaksanakan.

Walaupun kerajaan kelmarin kerajaan membenarkan operator fasiliti sukan kembali beroperasi dengan SOP yang ketat namun Liu Ying memberitahu pemilik di tempat mereka berlatih belum bersedia untuk membuka operasi.

BAM bersetuju membenarkan mereka yang juga sandaran Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo tahun depan untuk berlatih di ABM dengan syarat perlu mematuhi semua SOP yang ditetapkan termasuklah melakukan ujian calitan Covid-19 dan menginap di asrama di ABM sepanjang tempoh latihan.

Selain Peng Soon-Liu Ying, BAM turut menjemput beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong untuk berlatih bersama. Bagaimanapun, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann memberitahu V Shem-Wee Kiong menolak jemputan berkenaan.

"Ini kerana, Wee Kiong baru sahaja menyambut kelahiran bayi keduanya dan atas sebab itu mereka tidak menyertai latihan. Kami faham dengan situasi itu dan menghormati keputusan mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 9:20 PM