AKSI Sumareh ketika berlatih bersama Police Tero. FOTO Police Tero FC
AKSI Sumareh ketika berlatih bersama Police Tero. FOTO Police Tero FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kelibat pemain naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh tiada dalam senarai skuad utama Police Tero FC semalam bukan disebabkan menghadapi masalah atau kecederaan cuma memerlukan sedikit tempoh untuknya menyesuaikan diri bersama pasukan.

Pemain berusia 26 tahun itu berkata, ketika ini barisan kejurulatihan mahukannya berehat dan menjalani latihan khas sebelum disenaraikan dalam pasukan pada perlawanan akan datang.

Sumareh berkata, khidmatnya kemungkinan akan digunakan pada perlawanan akan datang sebaik mendapat lampu hijau daripada jurulatihnya.

"Sekarang, saya mengikuti program kecergasan di mana barisan kejulatihan meminta saya untuk bersantai dan tidak tertekan dengan situasi semasa.

''Barisan kejurulatihan cukup memahami situasi saya yang sudah lama tidak beraksi dan berazam mahu mempamerkan aksi terbaik apabila diturunkan nanti,'' katanya.

Selain itu, pemain berasal dari Gambia berkata, situasi Covid-19 di negara terbabit terkawal dengan pengurusan pasukan sentiasa mengambil langkah optimum bagi membendung pandemik berkenaan daripada menular di kalangan pemain.

"Rata-rata pemain sudah mengenali saya kerana pernah bertemu pada perlawanan antarabangsa sebelum ini, jadinya mereka semua baik dan memahami kerana saya sudah lama tidak bermain.''

Sebelum itu, harapan peminat bola sepak tempatan untuk menyaksikan Sumareh turun beraksi bersama Police Tero pada perlawanan malam kelmarin ternyata meleset apabila pemain itu tidak disenaraikan dalam pasukan untuk diturunkan bertemu Prachuap. Perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan itu seri 2-2 hanya menyaksikan rakan sepasukan Sumareh iaitu Dominic Tan tersenarai sebagai pemain simpanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 10:41 PM