NADZRY (dua dari kiri) memberi penerangan kepada Reezal Merican.
NADZRY (dua dari kiri) memberi penerangan kepada Reezal Merican.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kebenaran beroperasi hanya untuk latihan (tidak lebih 10 orang) dianggap satu keputusan kurang positif buat penggiat industri sukan komersil.

Menurut Pengarah Urusan Arena Legacy Sdn Bhd, Nadzry Abu Bakar, beliau amat menghargai usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membolehkan fasiliti sukan komersil beroperasi semula namun syarat ditetapkan boleh menyebabkan mereka menanggung lebih kerugian.

"Pengumuman semalam mungkin positif buat pengusaha gimnasium dan futsal. Gimnasium boleh beroperasi dan mudah dikawal untuk latihan individu, futsal pula tak lebih 10 orang masih lagi logik tapi bagi padang bola komersil seperti tiada beza buka atau tidak," katanya.

Nadzry yang memiliki tiga kompleks padang komersil, di Arena 26 Shah Alam, Radia Arena Bukit Jelutong & Gardens Arena Sungai Buloh menjelaskan fasilitinya selalu digunakan oleh pasukan bola sepak komuniti dan sosial, jarang untuk penggunaan latihan pasukan profesional.

"Kami gusar lagi banyak kos jika dibuka, namun dengan situasi sekarang, harapan saya selepas ini ia bukan dibuka untuk tujuan latihan saja mungkin lagi seminggu boleh digunakan bagi sukan kontak.

"Biar ia peringkat demi peringkat tetapi saya harap jangan terlalu lama sangat," katanya.

Beliau berkata 90% penggunaan fasiliti di tempatnya adalah melalui perlawanan mahupun liga komuniti, di mana demografik pasaran padang komersil yang lebih menjurus kepada komuniti bola sepak amatur dan sosial.

"Komuniti ini bukan seperti bola sepak profesional yang memerlukan latihan dari masa ke semasa kerana tiada keperluan dan kapasiti kewangan yang tidak membenarkan.

''Jadi, permintaan untuk latihan adalah sangat-sangat rendah. Untuk kami membuka semula operasi semata-mata untuk latihan mungkin akan menyebabkan kami menanggung lebih kerugian.

''Jadi, pengumuman semalam sebenarnya meninggalkan kami dalam keadaan kebingungan. Harapan kami sebenarnya adalah untuk bola sepak dibenarkan dimainkan seperti biasa tetapi mungkin dalam jumlah perlawanan terhad setiap hari atau hanya satu padang di setiap venue (contoh).

"Kita semua perlu akui yang kita sedang dan akan hidup 'dengan Covid-19' untuk jangkamasa lama, jadi pada pandangan kami, 'approach case to case basis' adalah lebih sesuai berbanding menutup sektor sukan secara menyeluruh," katanya.

Tambahnya, mereka bukan tidak peduli mengenai kesihatan dan keselamatan awam, tapi hanya mahukan penyelesaian realistik untuk jangka masa panjang memandangkan pandemik berkenaan tidak akan berakhir dalam masa terdekat.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam kenyataan media memaklumkan padang bola sepak komersil, gimnasium, gelanggang futsal dan dewan badminton dibenarkan beroperasi bermula esok.

Beliau berkata, pembukaan fasiliti berkenaan turut disusuli dengan garis panduan yang wajib dipatuhi pemilik dan pengguna kemudahan terbabit bagi mengelak penularan Covid-19.

"Aktiviti di dalam padang bola sepak dan gelanggang futsal hanya untuk tujuan latihan sahaja dan terhad kepada maksimum 10 orang peserta pada satu-satu masa," kata Reezal Merican.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 10:56 PM