X
Penyerang Wolves, Raul Jimenez (kanan) meraikan jaringannya ketika berdepan Leeds pada aksi Liga Perdana Inggeris. FOTO AFP
Penyerang Wolves, Raul Jimenez (kanan) meraikan jaringannya ketika berdepan Leeds pada aksi Liga Perdana Inggeris. FOTO AFP
AFP

London: Wolves melonjak ke tangga keenam Liga Perdana ketika Raul Jimenez memastikan kemenangan 1-0 di Leeds sementara perlawanan West Bromwich Albion dan Burnley berakhir seri tanpa jaringan buat pertama kali dalam saingan liga utama Inggeris musim ini.

Wolves kendalian Nuno Espirito Santo meraih kemenangan ketiga dalam kempen kali ini apabila gol sepakan Jimenez pada babak kedua terkena pemain tengah Leeds, Kalvin Phillips dan menerjah gawang.

Gol ketiga penyerang Mexico itu musim ini memberikan kemenangan berturut-turut buat Wolves selepas mereka juga menewaskan Fulham sebelum rehat perlawanan antarabangsa.

"Ia adalah aksi yang bagus dengan sedikit aspek perlu diperbaiki. Kami lebih baik pada babak kedua, tapi pada permulaan ia sangat sukar bagi kami," kata Nuno.

"Leeds sangat dinamik. Kami perlu menyesuaikan diri dan lebih bagus di depan gol. Kami bernasib baik mendapat gol itu tetapi kami ada peluang."

Leeds kini mengharungi dua perlawanan tanpa menang ketika mereka tewas kali pertama dalam liga sejak kekalahan tipis pada minggu pembukaan kepada juara bertahan Liverpool.

"Pada separuh masa pertama kami seharusnya memanfaatkan peluang untuk mengatasi lawan, pada babak kedua ia agak sukar," kata bos Leeds Marcelo Bielsa.

"Kami mencipta peluang yang banyak untuk berpeluang mendahului. Saya tak fikir lebih baik dari kami tetapi mereka lebih bijak memanfaatkan peluang."

Sementara itu, selepas berlangsung 46 saingan Liga Perdana sejak musim bermula pada September, keseronokan jaringan gol terhenti di Hawthorns.

Perlawanan ke-47 itu ditamatkan tanpa nama penjaring.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 7:35 AM