PENYERANG Terengganu FC, Dominique Da Sylva (kanan) cuba melepasi penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias pada aksi terakhir Liga Super musim ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
PENYERANG Terengganu FC, Dominique Da Sylva (kanan) cuba melepasi penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias pada aksi terakhir Liga Super musim ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun gagal melayakkan diri beraksi di saingan Piala AFC 2021, petunjuk prestasi utama (KPI) pasukan Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Super musim ini tercapai.

Ini diakui pengurus skuad Penyu, Ahmad Shahrizal Yahya yang menyifatkan kejayaan mengakhiri liga utama itu di kedudukan ketiga sudah mencapai matlamat pasukan.

Beliau berkata, pencapaian itu sesuatu yang begitu membanggakan buat pasukan yang dibarisi ramai pemain muda berbakat selepas sekadar menghuni tangga ketujuh liga musim lalu.

Musim ini skuad dari Pantai Timur itu ketinggalan tiga mata di belakang naib juara liga, Kedah yang mengumpul 22 mata sekali gus menyaksikan skuad Helang Merah itu mara ke saingan Piala AFC musim depan.

"KPI skuad kita musim ini tercapai selepas pasukan berjaya menghuni di kedudukan ketiga liga sekali gus memperbaiki kedudukan ketujuh musim lalu.

"Apa yang kami harapkan prestasi pasukan dapat ditingkatkan lagi menjelang aksi Piala Malaysia yang bakal bermula pada 6 November depan," kata Shahrizal.

Mengulas lanjut, Shahrizal berkata, pemain kini giat menjalani latihan seperti biasa di bawah kendalian jurulatih, Nafuzi Zain yang dibantu bekas pemain Terengganu, Subri Sulong dan Rosdi Talib selain jurulatih penjaga gol, Yazid Yassin dan Ismail Abdul Rahman.

"Latihan diadakan seperti biasa enam kali seminggu yang turut disertai pemain import daripada pasukan Terengganu FC II sebagai persiapan menjelang pertemuan Piala Malaysia nanti.

"Harapan kami mahu melihat pasukan mampu melangkah lebih jauh musim ini walaupun akui saingan pada musim ini begitu getir kerana diadakan secara kalah mati berikutan wabak Covid-19," katanya.

Pada saingan Piala Malaysia musim lalu, naib juara 2018 itu gagal melangkah ke peringkat separuh akhir selepas tumpas dengan agregat 1-5 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 6:45 PM