PENG Soon (kiri) dan Liu Ying kini berlatih di BAM. FOTO Bernama
PENG Soon (kiri) dan Liu Ying kini berlatih di BAM. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Keuntungan untuk kedua-dua pihak, begitulah pengakuan ketua jurulatih beregu campuran negara, Paulus Firman apabila pasangan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying memulakan latihan bersama-sama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Menurutnya, apabila sudah terjadi perkara seperti ini, masing-masing harus mempunyai 'give and take' dan dua-dua pihak mempunyai keuntungan.

"Bagi mereka (Peng Soon-Liu Ying) mempunyai tempat untuk meneruskan latihan dan mendapat rakan sepelatih. Bagi kita pula, pemain Persatuan Badminton Malaysia boleh belajar sesuatu," katanya.

Ujar Paulus, antara mereka yang bakal memperoleh sesuatu daripada Peng Soon-Liu Ying sudah tentu pemain muda atau pelapis.

"Mereka boleh banyak belajar dan mengambil hal positif daripada Peng Soon-Liu Ying. Lagi pun sebelum ini memang pasangan berkenaan sering datang menjalani perlawanan 'sparring' dua kali seminggu," katanya.

Walaupun BAM ada menetapkan syarat untuk membolehkan beregu campuran Peng Soon-Liu Ying berlatih bersama di Akademi Badminton Malaysia (ABM), ia bukan satu halangan besar buat pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu.

Mereka bersetuju dengan syarat ditetapkan bagi membolehkan menjalani latihan bersama skuad kebangsaan bermula semalam.

Berikutan PKPB yang dilaksanakan kerajaan bermula 14 hingga 27 Oktober ini, Peng Soon-Liu Ying memohon bantuan BAM untuk membenarkan mereka berlatih bersama skuad kebangsaan.

Ia disebabkan mereka tidak dapat meneruskan latihan selepas tempat dijadikan pusat latihan di Kompleks Endah Parade terpaksa ditutup berikutan PKPB yang dilaksanakan.

Sementara itu ditanya mengenai dua gandingan utama di BAM, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing sejak kembali memulakan latihan sejak Jun lalu apabila tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Paulus berkata, setakat ini kedua-dua pasangan itu menunjukkan perkembangan positif.

"Bagaimanapun, dari soal ukuran peningkatan kita hanya boleh lihat jika ada kejohanan bertaraf antarabangsa," kata pengendali kelahiran Indonesia itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 6:57 PM