AB Ghani Hassan percaya Liga-M boleh mencecah nilai RM1 bilion. FOTO NSTP
AB Ghani Hassan percaya Liga-M boleh mencecah nilai RM1 bilion. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Impian untuk melihat nilai Liga Malaysia (Liga-M) mencecah RM1 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang sememangnya mampu dicapai, namun langkah pertama ke arah itu perlu bermula daripada semua pasukan dalam saingan Liga-M.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, usaha meningkatkan nilai adalah tanggungjawab semua pemegang taruh dengan aspek pengurusan secara profesional di peringkat kelab masing-masing adalah kunci kejayaan.

Katanya, jika semua pasukan mencontohi Johor Darul Ta'zim (JDT) yang memiliki ibu pejabat sendiri, stadium sendiri dan pusat latihan yang serba moden, tidak mustahil melihat lebih banyak penaja tertarik untuk melabur sekali gus meningkatkan nilai Liga-M.

"Pertama, untuk menaikkan nilai liga setiap pasukan terutamanya pengurusan perlu diperkemaskan lagi. Maksud saya, pengurusan kena bergerak sepenuhnya secara profesional.

"Kena lengkap dengan segala kemudahan latihan dan kakitangannnya seperti unit pemasaran dan sebagainya. Jadi kalau semua ini ada, nilai kelab itu akan naik dan akhirnya akan beri tempias kepada liga kita.

"JDT contoh di mana terbukti mereka boleh buat stadium, pusat latihan yang terbaik dan jurulatih yang bagus. Secara tak langsung, benda ini (pengurusan profesional) akan menarik penaja malah mereka sendiri yang datang untuk menaja pasukan.

"Ini yang perlu dibuat di peringkat awal apabila FA (Persatuan Negeri) dah berpisah kepada FC (kelab)," katanya kepada Arena metro.

Jumaat lalu, menerusi laporan khas akhbar ini, beberapa pakar ekonomi negara membayangkan Liga-M boleh mencecah RM1 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang sekiranya semua kelab bergerak secara profesional dan ekosistem industri bola sepak berada pada senario yang harmoni.

Bagaimanapun, perancangan berkenaan boleh terganggu sekiranya salah satu daripada empat komponen iaitu hak penyiaran, penaja, jualan tiket perlawanan dan cenderamata tidak bergerak atau terhalang ekoran ekosistem yang tidak sihat boleh membawa masalah kepada sesebuah liga.

Selain itu, beberapa pihak termasuk pemerhati dan pengurusan pasukan Liga-M mahu MFL meningkatkan nilai liga domestik dengan memberi hak penyiaran kepada stesen televisyen bagi meraih keuntungan yang lebih besar.

Jelas Ghani lagi, semua pasukan perlu bersabar melakukan transformasi dan meletakkan sasaran jangka panjang yang realistik buat pasukan.

"Ini ambil masa (perubahan profesional) tak boleh dalam setahun atau dua tahun, tetapi ia proses jangka panjang, mungkin lima tahun baru akan dapat sesuatu.

"Jadi diharapkan dengan FA ke FC ini, semua pasukan yang mengambil bahagian dalam liga akan menyusun kepimpinan sebaiknya di peringkat kelab seperti wujudnya unit pemasaran. Macam sistem piramid, akhirnya sampai ke atas liga kita akan dapat nilai yang tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 9:15 PM