Pemain sayap Bayern Munich, Serge Gnabry. FOTO AFP
Pemain sayap Bayern Munich, Serge Gnabry. FOTO AFP
AFP

Berlin: Juara Eropah, Bayern Munich hari ini mengumumkan kes pertama Covid-19 ketika pemain sayap Jerman, Serge Gnabry diuji positif Covid-19.

Pemain berusia 25 tahun berada dalam keadaan baik dan menjalani kuarantin di rumah, menurut kenyataan kelab gergasi Jerman itu.

Dia akan terlepas perlawanan kumpulan Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid apabila Bayern memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Eropah dalam aksi tertutup di Allianz Arena awal pagi esok.

Bagaimanapun, Bayern tidak menyatakan sama ada ujian positif terhadap Gnabry memberi kesan kepada perlawanan di gelanggang sendiri selepas pemain itu menjalani sesi latihan pada sebelah pagi semalam.

Bekas sayap Arsenal memulakan aksi dalam empat perlawanan Bundesliga buat Bayern musim ini dan menjaringkan hatrik ketika membelasah Schalke 8-0 pada perlawanan pembukaan bulan lalu.

Dia menjadi pemain kedua dari skuad Jerman yang diuji positif virus itu selepas pemain tengah Manchester City, Ilkay Gundogan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 9:30 AM