Tunku Ismail (kiri) bersama Figueroa berdiri di hadapan 'Luciano Figueroa Stand ' pada majlis perasmian tempat duduk itu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, baru-baru ini.
Tunku Ismail (kiri) bersama Figueroa berdiri di hadapan 'Luciano Figueroa Stand ' pada majlis perasmian tempat duduk itu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, baru-baru ini.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Legenda Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Harimau Selatan apabila beliau akan pulang ke Argentina sekali gus tidak akan bersama pasukan pada musim depan.

Pengumuman itu dibuat menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers (JST) hari ini sambil Figueroa mengakui sedih untuk meninggalkan 'keluarga' JDT.

Beliau yang dilantik sebagai pengurus pasukan sejak dua musim lalu berjaya membawa pasukan memenangi kejuaraan Liga Malaysia (Liga M) termasuk mengekalkan trofi Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut bulan lalu.

"Dengan berat hati, saya ingin mengumumkan bahawa sayangnya masa saya di Johor telah berakhir disebabkan perlu kembali ke Argentina kerana komitmen keluarga.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim), Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim serta penyokong atas sokongan tidak berbelah bagi yang saya perolehi sebagai pemain dan pengurus.

"Saya pergi dengan penuh kenangan manis dan saya amat terharu dengan penamaan sebuah 'stand' di Stadium Sultan Ibrahim bersempena nama saya. Ia perjalanan yang indah, memenangi banyak piala dan menjalin banyak hubungan rakan-rakan baharu yang kini saya panggil keluarga," katanya.

Figueroa berterima kasih kepada Tunku Ismail yang banyak memberi dorongan dan kepercayaan kepadanya. FOTO FB JST
Figueroa berterima kasih kepada Tunku Ismail yang banyak memberi dorongan dan kepercayaan kepadanya. FOTO FB JST

Sebagai rekod, ketika beraksi sebagai pemain untuk skuad Harimau Selatan sejak 2014, beliau menjaringkan 42 gol dan ia adalah pencapaian terbaik selaku pemain import selain melakukan 14 bantuan jaringan selepas mengharungi 71 perlawanan.

Bekas pemain kebangsaan Argentina ini memenangi dua kejuaraan Liga Super pada musim 2014 dan 2015 selain Piala Sumbangsih pada 2015 sebelum disusuli kejayaan terbesar pada musim 2015 apabila JDT membawa pulang Piala AFC.

Pada musim 2018, Figueroa kembali menyarung jersi skuad Harimau Selatan dan kemudian membantu pasukan itu memenangi Piala Sumbangsih.

Pada Ogos tahun yang sama beliau dilantik sebagai pengurus pasukan.

Pelantikan Figueroa selaku pengurus pasukan ternyata memberi kesan buat JDT apabila memenangi Piala Sumbangsih pada 2019 selain muncul juara liga 2019 dan turut menjuarai Piala Malaysia pada musim yang sama.

Lantas diatas segala pencapaian membanggakan itu, JDT mengabadikan di satu kawasan tempat duduk di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, dengan menamakan sebagai `Luciano Figueroa Stand'.

Kata Figueroa lagi, beliau yakin pengendali pasukan, Benjamin Mora mampu meneruskan dominasi JDT dalam arena bola sepak tempatan.

"Saya percaya Benjamin Mora, yang merupakan sebahagian kunci utama kejayaan JDT dalam pelbagai cara di belakang tabir baru-baru ini, Pengarah Teknikal, Pengarah Sukan dan tentu sekali Tunku Mahkota Johor akan terus membawa kejayaan kepada kelab.

"Selamat maju jaya buat JDT dan semoga kita akan bersatu semula pada masa akan datang".

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 12:07 PM