Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli. FOTO File NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli. FOTO File NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tiada kes positif Covid-19 direkodkan dalam kalangan kakitangan Institut Sukan Negara (ISN) sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli mengesahkan perkara itu dan sekali gus menafikan laporan media tempatan yang mendakwa kakitangan ISN dipercayai pakar pemakanan dijangkiti Covid-19, kerana mempunyai kontak rapat kepada pesakit.

Ahmad Faedzal turut memaklumkan bahawa ujian saringan pertama yang dijalankan ke atas pakar pemakanan berkenaan adalah negatif Covid-19.

"Petugas berkenaan dijadual menjalani ujian saringan kedua akhir minggu ini dan kini sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah sehingga keputusan ujian saringan kedua diperolehi.

"PUI (pesakit bawah siasatan) itu seorang sahaja. Keputusan untuk kuarantin beberapa hari dibuat merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Ahmad Faedzal menegaskan di bawah program latihan kebangsaan dikendalikan Majlis Sukan Negara (MSN) dan ISN, pihaknya amat mematuhi SOP ditetapkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, sebarang langkah yang diambil adalah berpandukan kepada SOP ditetapkan jika membabitkan pesakit bawah pengawasan (PUS) atau PUI.

Semalam Bernama melaporkan tiga jurulatih skuad hoki kebangsaan mula menjalani latihan selepas menjalani kuarantin kendiri selama tiga hari kerana menghadiri mesyuarat bersama seorang petugas ISN yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 2:10 PM