MUHAMMAD Sanusi menarik balik keputusan meletak jawatan sebagai Presiden KFA. FOTO Amran Hamid
MUHAMMAD Sanusi menarik balik keputusan meletak jawatan sebagai Presiden KFA. FOTO Amran Hamid
Izzali Ismail


Alor Setar: Penantian mengenai status peletakan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akhirnya terjawab apabila Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan menarik balik keputusan itu.

Ia dibuat selepas rayuan sebulat suara oleh pengurusan KFA pada 12 Oktober lalu yang mahukan Muhammad Sanusi menarik semula surat peletakan jawatannya sebagai presiden yang dihantar pada 25 September lalu.

"Saya sudah menarik balik surat peletakan jawatan sebagai presiden KFA kerana saya sedar bahawa ada fungsi yang sangat besar sebagai Menteri Besar dalam sukan bola sepak di Kedah ini untuk diberi perhatian yang serius.

"Lagipun kita akan menghadapi senario baharu pada tahun hadapan iaitu pemisahan FA dan FC dan perkara itu pun akan disusun," katanya.

Sementara itu, Sanusi turut mengumukan nama pasukan Kedah pada musim depan yang akan dikenali dengan nama Kedah Darul Aman FC.

"Kita akan adakan pertandingan logo dan ia sedang dibuka dengan syarat-syarat boleh didapati di laman web dan laman Facebook KFA dengan tawaran hadiah serta wang tunai RM5,000 kepada pemenang," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan penajaan baharu yang sedang diuruskan KFA, Sanusi memaklumkan pihaknya juga bersetuju pembelian saham oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI) sebanyak 80 peratus keatas saham syarikat Darulaman FC Sdn Bhd.

"Ada orang cakap musim depan FA (Persatuan Bola Sepak)sudah tak ada, tapi sebenarnya masih ada iaitu 80 peratus saham Darulaman FC (DFC) dimiliki MBI dan 20 peratus selebihnya akan dimiliki oleh KFA.

"Cuma MBI kini sedang berunding dengan beberapa pihak untuk menubuhkan sebuah konsortium dan 80 peratus pegangan saham itu akan dikongsi dikalangan konsortium itu," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Setiausaha Kehormat KFA, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, terdapat sekurang-kurangnya lima syarikat yang sedang dalam rundingan bagi pembelian pegangan saham dalam DFC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 7:07 PM