STUART berkata FAM akan mencari jalan terbaik menyelesaikan isu tunggakan gaji bekas pemain ATM. FOTO Owee Ah Chun
STUART berkata FAM akan mencari jalan terbaik menyelesaikan isu tunggakan gaji bekas pemain ATM. FOTO Owee Ah Chun
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Isu tunggakan gaji membabitkan bekas pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah diterima oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya akan berhubung dengan kedua-dua pihak iaitu bekas pemain dan pengurusan ATM bagi menyelesaikan perkara itu.

Jelasnya, FAM memandang serius dan akan cuba mencari jalan terbaik sambil tidak menolak kemungkinan kegagalan ATM disebabkan pandemik Covid-19.

"Laporan sudah diterima dan FAM akan berkomunikasi dengan kedua-dua pihak untuk menyelesaikan perkara ini yang disebabkan oleh faktor-faktor tertentu di mana ATM tidak dapat membuat pembayaran seperti yang sudah dipersetujui antara kedua-dua pihak.

"Kita harap akan ada jalan penyelesaian terbaik mampu dicapai oleh kedua-dua pihak," katanya mengulas mengenai pendedahan Arena Metro.

Menerusi laporan akhbar ini, seorang bekas pemain ATM yang dulunya sering menjadi pilihan utama kesebelasan utama pasukan disamping turut pernah dipanggil menyarung jersi kebangsaan, kini bergelar nelayan.

Dia yang enggan dikenali terpaksa meneruskan kehidupan di laut disebabkan kegagalan bekas majikannya itu melunaskan tunggakan gaji yang sangkut sejak 2015 lalu.

Selain dirinya, tiga pemain lain turut menunggu tunggakan gaji sepenuhnya dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM280,000.

Difahamkan pembayaran yang dikreditkan secara ansuran setiap bulan itu terhenti pada bulan April lalu dan ia jelas melanggar perjanjian yang sudah dipersetujui antara bekas pemain dan ATM sebelum ini.

Mengulas mengenai isu penswastaan, Stuart menegaskan kelulusan penswastaan ATM tiada masalah kerana pasukan yang sudah dijenamakan sebagai Armed Forces itu tidak bermain di Liga Perdana dan bermaksud mereka tidak perlu memohon perlesenan kelab.

"Itu penswastaan dan tidak berkaitan dengan permohonan perlesenan kelab. Mereka tidak bermain di Liga Perdana. Dari segi pengurusan kini, dapat lihat semuanya berjalan dengan baik tetapi disebabkan Covid-19 semua pihak terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 9:20 PM