DR Erwin (kiri), Halimey Abu Bakar, Rasyieda Abdul Ghani serta Datuk Dr Hashim pada majlis pelancaran pejabat ESPN Global Malaysia di Ara Damansara. FOTO ESPN Global Malaysia
DR Erwin (kiri), Halimey Abu Bakar, Rasyieda Abdul Ghani serta Datuk Dr Hashim pada majlis pelancaran pejabat ESPN Global Malaysia di Ara Damansara. FOTO ESPN Global Malaysia
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Peminat permainan dalam talian kini boleh menjana pendapatan lumayan menerusi permainan anjuran syarikat integrasi sistem blockchain permainan dalam talian (esukan), ESPN Global Malaysia.

ESPN Global adalah platform esukan mudah alih yang berpusat di UK. Ia dikendalikan oleh ESPN Global CORPORATION LTD, berpengkalan di Poland yang menawarkan beberapa permainan popular dalam satu aplikasi.

Hadiah bernilai RM1 juta turut ditawarkan oleh ESPN Global Malaysia untuk mencari pasukan terbaik dalam permainan popular Mobile Legends, Call Of Duty Mobile dan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG).

Ketua Pegawai Eksekutif ESPN Global Asia Tenggara, Datuk Dr Erwin berkata, dana terbabit diperuntukkan bagi membangunkan esukan yang semakin mendapat tempat di hati pengguna alam maya sekarang.

"Buat masa ini kami hanya tawarkan permainan dalam talian PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) sahaja.

"Selepas ini mungkin permainan Mobile Legends pula diikuti beberapa permainan popular yang diminati remaja dan dewasa masa kini.

"Di negara kita sendiri terdapat 2.3 juta pengguna yang bermain PUBG dan 3 juta pengguna Mobile Legend. Jumlah ini adalah prospek yang membanggakan," katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran pejabat urusan ESPN Global Malaysia dan Asia Tenggara di Ara Damansara yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri, Adun Seri Setia, Halimey Abu Bakar baru-baru ini.

Menurutnya, sebagai pembakar semangat mereka, ESPN Global Malaysia akan menawarkan hadiah bernilai RM1 juta untuk 20 buah trofi esukan di Malaysia.

"Kami sedang dalam perancangan mengadakan pertandingan esukan secara mingguan di pejabat urusan kami dan menawarkan RM20,000 sebagai hadiah mingguan," katanya.

Dalam perkembangan lain, ESPN Global Malaysia juga sedang merangka pelan pembangunan sukan tempatan iaitu penganjuran kejohanan futsal dalam skala besar dengan hadiah bernilai RM100,000.

"Pertandingan ini dijangka akan dijalankan pada akhir tahun ini untuk meningkatkan kesedaran sukan dan mengangkat kejohanan ini ke peringkat lebih tinggi lagi," kata Erwin lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ESPN Global Malaysia, Rasyieda Abdul Ghani pula berkata, pihaknya mahu memberi peluang kepada orang ramai untuk mengubah taraf hidup serta menggandakan pendapatan mereka menerusi permainan ini.

"Mereka boleh meraih pendapatan dengan hanya menjadi ahli berstatus 'Affiliate Refferal' yang boleh menjana pendapatan pasif sehingga RM10,000 sehari," katanya.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari https://www.espnglobal.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 11:48 PM