MICKELSON sedia korbankan Terbuka Houston. FOTO AFP
MICKELSON sedia korbankan Terbuka Houston. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Pemenang lima kali kejuaraan utama, Phil Mickelson berkata, dia bimbang dengan kehadiran penonton yang dibenarkan oleh Jelajah PGA AS seminggu sebelum berlangsungnya Masters dan sedia mempertimbangkan untuk tidak menyertai kejohanan itu.

Pemain kidal dari Amerika Syarikat berusia 50 tahun itu yang juga pemenang jaket hijau tiga kali menyokong penuh garis panduan Covid-19 yang disediakan jelajah.

Tetapi Mickelson bimbang dengan risiko yang membenarkan kehadiran 2,000 penonton di Terbuka Houston beberapa hari sebelum ketibaan bintang golf di Augusta National.

"Jelajah PGA melakukan tugas dengan sangat baik bagi memastikan pemain bertanding dalam persekitaran sihat,'' kata Mickelson. "Mereka benar-benar mahu memastikan kami selamat walaupun membenarkan 2,000 penonton menyaksikan Terbuka Houston.

"Tetapi saya secara peribadi enggan menanggung risiko ketika hanya seminggu sebelum Masters. Ia kejohanan besar, jadi saya tak mahu tanggung risiko. Timbul persoalan sama ada saya akan beraksi atau tidak di sana.''

Mickelson yang menjuarai gelaran keduanya tahun ini di Champions Tour berkata, dia mungkin tidak beraksi di Houston dan menyertai kejohanan Champions di Phoenix pada minggu yang sama sebagai persediaan menghadapi Masters yang bermula pada 12 November.

"Jika Phoenix tanpa penonton, saya mungkin ke sana, secara jujurnya,'' kata Mickelson. ''Tetapi jika kedua-dua mempunyai galeri, saya mungkin sertai Terbuka Houston.''

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 12:39 PM