BARISAN pemain Felda United yang beraksi pada musim ini. FOTO FB Felda United FC
BARISAN pemain Felda United yang beraksi pada musim ini. FOTO FB Felda United FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Adakah benar Tanah Melayu Capital Berhad (TMCB) pemilik baharu The Fighters Sdn Bhd?

Itu hasil tinjauan yang dilakukan Arena Metro apabila difahamkan kemungkinan besar TMCB adalah pemilik baharu syarikat The Fighters Sdn Bhd yang bersaing dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) menggunakan nama Felda United ketika ini.

Menurut sumber, kehadiran TMCB bersama pasukan Feld United bukanlah sesuatu yang asing kerana syarikat itu sememangnya penaja utama kepada skuad The Fighters.

Katanya, TMCB kemungkinan adalah pemilik baharu dan sebarang pengumuman akan dilakukan selepas mendapat kelulusan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung dokumen penswastaan yang sudah diserahkan pada Khamis lalu.

"Tak tahu lagi secara tepat. Tetapi dengar-dengarnya kemungkinan TMCB. Mereka ini adalah penaja kepada Felda United musim ini.

"Di depan jersi pasukan (Felda United) boleh nampak lambang TMCB. Katanya mereka berminat nak melebar sayap dalam bidang bola sepak, sebab itu mereka sanggup membeli pasukan (The Fighters Sdn Bhd)," katanya kepada Arena Metro.

Berdasarkan semakan, TMCB ialah sebuah syarikat yang mengusahakan pelbagai cabang perniagaan dengan sektor utama adalah berkaitan kesihatan.

Ditubuhkan pada 2015, TMCB berkembang cukup positif dengan kini turut memiliki beberapa sektor perniagaan di negara luar terutamanya di sekitar Asia Tenggara dan China.

Terdahulu, menerusi laporan Arena Metro kelmarin, The Fighters Sdn Bhd disahkan akan terus kekal beraksi dalam saingan Liga-M musim depan selepas pasukan yang menggunakan nama Felda United itu disahkan sudah mempunyai pemilik baharu.

Menurut wakil The Fighters Sdn Bhd yang juga bekas Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman, isu penswastaan membabitkan pengesahan dokumen sokongan kewangan juga sudah diselesaikan dan kini pihak hanya menunggu pengesahan badan induk bola sepak negara.

Jelas Afizal, beliau bersyukur apabila sebuah syarikat tempatan tampil menjadi penyelamat untuk melabur dalam The Fighters Sdn Bhd namun bagi menghormati permintaan pemilik baharu itu, beliau tidak boleh mengumumkan siapakah individu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 7:16 PM