Edouard Mendy. FOTO Agensi
Edouard Mendy. FOTO Agensi
AFP

London: Edouard Mendy berkata dia pernah bergelut menyelamatkan karier bola sepak kerana tidak mewakili mana-mana kelab sehingga ia mendorong kepada dirinya untuk melakar kejayaan di Chelsea.

Penjaga gol Senegal itu menyertai skuad Blues dengan perjanjian £20 juta (RM108.2 juta) dari Rennes tahun lalu, tetapi pada 2014 dia tidak mewakili mana-mana kelab dan bimbang mengenai masa depannya dalam sukan itu.

Pemain berusia 28 tahun itu, terpaksa mengambil faedah pengangguran di Perancis selepas dilepaskan oleh Cherbourg, dan kemudian pasangannya pula hamil.

Selepas setahun di padang belantara dan berlatih dengan pasukan simpanan Le Havre, Mendy mendapat perpindahan ke Marseille dan berpeluang memulihkan kembali kariernya.

Kini penjaga gol kelahiran Perancis itu adalah penjaga gawang utama Senegal dan Chelsea disamping Kepa Arrizabalaga, mengakui tahun ini terbukti dia berdepan cabaran serta saingan sukar.

"Jika seseorang berkata kepada saya enam tahun lalu ketika saya tidak mempunyai kelab bahawa saya akan mengakhiri di sini, saya tidak akan menghiraukan apa-apa atau mendengar kata mereka," kata Mendy.

"Saya sememangnya dalam dilema sama ada mahu meneruskan kerjaya.

"Namun saya sedar sekarang dan berterima kasih kepada detik itu adalah sebahagian daripada perjalanan di mana saya berada ketika ini dan keluarga saya juga memperoleh faedah daripada apa yang saya terima dari bola sepak."

Pengarah teknikal Chelsea, Petr Cech menjadi orang penting memperkenalkan Mendy kepada pengurus Chelsea, Frank Lampard dan Mendy berkata dia mahu membalas kepercayaan yang diberikan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 9:00 AM