X
MANZOOR tiada lesen Pro Diploma  AFC.
MANZOOR tiada lesen Pro Diploma AFC.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Masa depan pengendali Pulau Pinang, Manzoor Azwira masih menjadi tanda tanya apabila dia dikhabarkan terpaksa melepaskan jawatan terbabit berikutan tidak mempunyai lesen Pro Diploma Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) Datuk Abdul Rashid Ismail berkata, pihaknya masih lagi belum menentukan kedudukan Manzoor untuk musim depan.

Beliau berkata, prestasi Manzoor yang berjaya membawa Pulau Pinang ke kancah Liga Super musim depan sememangnya berjaya mencapai matlamat pasukan selain berjaya membentuk gandingan mantap antara pemain.

''Setakat ini, kami belum lagi membincangkan kedudukan Manzoor selaku ketua jurulatih Pulau Pinang walaupun desas-desus mengatakan dia bakal diganti.

''Manzoor sudah menunjukkan prestasi cemerlang dan kami akan berusaha mengekalkan jurulatih terbabit untuk musim depan,'' katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sentuhan magis bekas pemain tengah Pulau Pinang dan Kedah itu terbukti apabila berjaya menjadi juara Liga Premier seterusnya akan beraksi di Liga Super pada musim depan.

Pulau Pinang mengutip 26 mata hasil daripada lapan kemenangan, dua seri dan satu kekalahan dilihat agak sukar untuk digugat pasukan Liga Premier lain.

Sementara itu, FAP kemungkinan akan membuat rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memberi kelonggaran berkaitan pemilikan lesen berkaitan sekali gus dapat mengekalkan Manzoor pada musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 10:12 PM