MOMOTA sedia meraih emas acara badminton di Sukan Olimpik tahun depan.
MOMOTA sedia meraih emas acara badminton di Sukan Olimpik tahun depan.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain nombor satu dunia, Kento Momota sudah berada pada prestasi terbaik dan dikatakan tidak berdepan masalah untuk meraih emas di negara kelahirannya menjelang Sukan Olimpik tahun depan.

Menurut ketua jurulatih Jepun, Park Joo Boong walaupun kelibat Momota masih belum dapat disaksikan dalam kejohanan kompetitif namun anak buahnya itu sudah kembali pada tahap terbaik selepas sembilan bulan terbabit kemalangan jalan raya di Malaysia Januari lalu.

"Saya fikir dia sudah kembali berada pada tahap prestasi sebenarnya, jurulatih saya ada mengadakan lawatan ke kelab Momota menjalani latihan beberapa kali," katanya menerusi temubual bersama Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Ujar Joo Bong, juara dunia dua kali itu sebenarnya sudah bersetuju untuk menyertai saingan Terbuka Denmark yang berlangsung minggu lalu.

"Semua pemain sebenarnya sudah bersedia untuk berangkat ke Denmark. Kami kembali memulakan latihan pada 1 Oktober bagi persiapan menghadapi Terbuka Denmark.

"Hanya beberapa hari sebelum kejohanan bermula, berlaku peningkatan kes Covid-19 di Denmark dan pemilik kelab meminta pemain untuk kekal (di dalam negara).

"Kami sudah mengesahkan semua hotel, tiket penerbangan dan semuanya sudah disahkan. Namun, pada saat akhir situasi berubah. Hanya enam pemain membuat keputusan untuk menyertai Terbuka Denmark termasuk empat jurulatih dan fisioterapi," kata Joo Bong. Momota, 26, yang muncul juara Masters Malaysia 2020 mengalami kecederaan selepas terbabit kemalangan ngeri di Kilometer 13.7 Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk pulang ke Jepun, 13 Januari lalu.

Dalam kemalangan itu, pemandu van, B Nageswarau, 24, yang tersepit di tempat duduknya, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga lagi mangsa iaitu Pegawai Teknikal BWF, William Thomas, 30, dari England, pembantu jurulatih Jepun, Hirayama Yu, 35, dan Pegawai Fisioterapi Jepun, Morimoto Akifumi, 42 mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 11:06 PM