LUQMAN kali pertama diturunkan dalam skuad utama. FOTO FB KV Kortrijk. VIDEO kredit Ini Liga Domestik Kita
LUQMAN kali pertama diturunkan dalam skuad utama. FOTO FB KV Kortrijk. VIDEO kredit Ini Liga Domestik Kita
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penantian peminat bola sepak tanah air untuk melihat pemain muda negara Luqman Hakim Shamsuddin beraksi bersama skuad utama KV Kortrijk akhirnya tercapai apabila dia diturunkan menentang Anderlecht awal pagi tadi.

Pemain yang berasal dari Kota Bharu Kelantan itu diturunkan pada minit ke-74 menggantikan Petar Golubović untuk beraksi di posisi sayap kiri.

Jelas sekali, walaupun hanya bermain 15 minit pada perlawanan terbabit, Luqman yang memakai jersi nombor sembilan turut berperanan membantu pasukan mengatur serangan ke kubu lawan meskipun dia dilihat pemain paling kecil di atas padang.

Pada perlawanan terbabit, KV Kortrijk yang menghuni tangga kesembilan liga, terpaksa akur tewas 1-3 kepada Anderlecht.

Perlawanan yang berlangsung Stadium Guldensporen menyaksikan pasukan pelawat mendahului 3-0 menerusi penyerang mereka Lukas Nmecha pada minit ke-6 dan 65 manakala Percy Tau pula minit ke 35.

Skuad kendalian Yves Vanderhaeghe berjaya memperoleh gol saguhati menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Ilombe Mboyo tiga minit sebelum perlawanan tamat.

Melihat kepada gaya permainan Luqman pada penampilan sulung itu, ia memberi bayangan kemungkinan khidmatnya akan diperlukan lagi pada perlawanan seterusnya menentang Zulte Waregem, Selasa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 7:58 AM