CERNY meraikan kemenangan peringkat ke-19 Giro d’Italia. FOTO AFP
CERNY meraikan kemenangan peringkat ke-19 Giro d’Italia. FOTO AFP
AFP

Asti: Pelumba Republik Czech, Josef Cerny melakukan gerakan solo untuk mengungguli peringkat perlumbaan ke-19 Giro d'Italia yang dipendekkan kepada hanya 124 kilometer (km) selepas barisan pelumba mengadakan protes berikutan cuaca buruk.

Pelumba berusia 27 tahun itu menamatkan saingan berkenaan dengan purata kepantasan lebih 49km sejam selepas mendahului secara solo pada 23km terakhir.

Wilco Kelderman kekal pendahulu keseluruhan dan perlu bersedia menghadapi peringkat perlumbaan ke-20 selepas mengharungi saingan yang lebih mudah berikutan protes dilakukan pelumba mendesak penganjur memendekkan laluan sebanyak 134km daripada laluan asal sejauh 258km.

Pelumba Australia, Adam Hansen memberitahu media barisan pelumba enggan meneruskan saingan dan mahu mencari jalan penyelesaian.

"Kami tidak bersedia untuk berlumba selepas melihat kepada keadaan semasa, jadi kami mengadakan perbincangan bersama penganjur untuk memendekkan peringkat perlumbaan dan ia menjadi kenyataan," kata Hansen.

Penganjur perlumbaan, Mauro Vegni bagaimanapun berkata sebaliknya.

"Saya tidak menerima sebarang cadangan sejak semalam atau pada pagi perlumbaan," katanya.

Pendahulu perlumbaan, Kelderman bagaimanapun gembira dengan situasi itu.

"Cuaca agak buruk pada sebelah pagi selain sejuk. Saya berterima kasih kepada penganjur kerana memendekkan laluan peringkat perlumbaan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 12:30 PM