MISBUN (kiri) teruja pemain remaja negara cukup bersemangat mahu menunjukkan kemampuan masing-masing. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
MISBUN (kiri) teruja pemain remaja negara cukup bersemangat mahu menunjukkan kemampuan masing-masing. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
Datuk Seri Jalani Sidek

Baru-baru ini saya sempat bertemu Misbun (Datuk Misbun Sidek) dan beliau banyak berkongsi mengenai Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan di Stadium Juara membabitkan atlet di bawah kendaliannya selaku Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Daripada ceritanya kepada saya, Misbun beritahu ketika semangat ramai pemain atau atlet mungkin menurun kerana pandemik Covid-19, rata-rata barisan pemain remaja negara cukup bersemangat mahu menunjukkan kemampuan masing-masing.

Mungkin berasakan inilah satu-satunya kejohanan yang boleh menguji kemampuan diri masing-masing, maka mereka dilihat beraksi pada tahap terbaik di setiap perlawanan.

Semangat orang muda memang lain sedikit. Sebab itulah sokongan harus diberikan kepada mereka yang kemudian hari nanti akan menjadi pelapis kepada skuad negara.

Daripada perkongsian Misbun itu, jelas sekali kita mempunyai ramai pemain yang cukup berbakat. Jadi sebenarnya tiada istilah ketandusan bakat.

Cuma, bagaimana hendak membentuk mereka menjadi pemain yang lebih bagus pada masa depan, itu adalah satu tanggungjawab yang amat berat digalas oleh Misbun dan barisan kejurulatihan skuad negara.

Bayangkan dikala negara dan seluruh dunia berasa buntu dengan pandemik Covid-19 ini, barisan pemain pelapis kita tetap bersemangat mempamerkan kemampuan masing-masing.

Jika tiada pandemik ketika ini, saya yakin prestasi mereka lebih melonjak di kejohanan yang disertai. Namun malangnya, kesemua kejohanan setakat ini ditangguhkan atau dibatalkan kerana Covid-19.

Pendek kata, anak-anak muda ini mengambil peluang daripada kesukaran yang dialami ketika ini untuk membuktikan semangat mereka cukup kental dan luar biasa. Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 7:58 PM