Lee Zii Jia taruhan terbaik skuad badminton negara. FOTO AFP
Lee Zii Jia taruhan terbaik skuad badminton negara. FOTO AFP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bekas pemain badminton negara, Roslin Hashim yakin dan percaya skuad badminton negara mempunyai tempoh yang mencukupi untuk 'mengulangkaji' semula latihan sebelum beraksi di kejohanan pertama antarabangsa di Thailand sejak pandemik Covid-19 menular.

Menurut beliau, dari segi fizikal pemain negara tidak berdepan masalah kerana sudah lama berlatih sejak pertengahan tahun lalu namun mungkin perlu cepat memperkukuhkan kekuatan mental.

"Kalau ikutkan persiapan hari-hari mereka berlatih cuma kita akan tengok bagaimana pula dari segi kekuatan mental mereka kerana sudah lama tidak beraksi di kejohanan antarabangsa," katanya. Menurut Roslin, walaupun pemain negara akan turun bermain di kejohanan pertama antarabangsa sejak pandemik Covid-19, namun jangan jadikan perkara itu sebagai alasan jika kalah awal.

"Keputusan kena jaga, jangan bagi alasan lama tidak bermain. Berikan yang terbaik kalau boleh juara lagi bagus. Tidak boleh fikir kita saja lama tidak bermain negara lain pun sama.

"Saya harap mereka melakukan persiapan lebih mantap, tempoh sebulan ini masih ada waktu untuk mengulangkaji dan melihat kembali video perlawanan terdahulu," katanya.

Selain Kento Momota, Roslin tidak sabar untuk melihat aksi jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang sebelum ini berada pada kemuncak prestasi ketika di Masters Malaysia dan Seluruh England.

"Kita agak terkilan kerana prestasi Zii Jia tengah naik sebelum semua kejohanan dibatalkan akibat Covid-19. Mungkin kali ini ia sedikit mengganggu keyakinannya. Jadi saya harap dia menggunakan peluang sebaik mungkin di Thailand," katanya.

Zii Jia berjaya mara sehingga ke separuh akhir di Masters Malaysia dan Seluruh England tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 9:24 PM