AKSI pemain sensasi Sepanyol, Carolina Marin di Terbuka Thailand semalam. FOTO EPA
AKSI pemain sensasi Sepanyol, Carolina Marin di Terbuka Thailand semalam. FOTO EPA
AFP

Bangkok: Penganjuran Terbuka Thailand disahkan selamat untuk diteruskan selepas terdapat tiga kes positif Covid-19 pada dua hari pertama, kata Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Seorang pemain Mesir terpaksa menarik diri manakala jurulatih Jerman dan anggota pasukan Perancis di bawah seliaan pihak hospital selepas didapati positif wabak itu.

Tiga lagi pemain turut diuji positif sebelum doktor memaklumkan ia adalah kes jangkitan lama. Bagaimanapun pihak berkuasa kesihatan Thailand menegaskan kejohanan itu boleh diteruskan, kata BWF.

"Kejohanan ini disahkan selamat untuk diteruskan oleh pihak berkuasa kesihatan Thailand," kata badan induk itu kepada AFP sambil menambah ujian terhadap kesemua pemain pada Selasa lalu adalah negatif.

Terbuka Thailand adalah kejohanan pertama daripada tiga kejohanan berturut-turut yang akan berlangsung di Bangkok.

Ia adalah kejohanan pertama yang dianjurkan selepas pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia pada tahun lalu.

Ketua badminton Thailand, Patama Leeswadtrakul berkata, jumlah kes terhad sememangnya sudah dijangka dan pihak penganjur sentiasa mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Thailand.

"Kita tidak boleh menjangkakan tiada langsung kes Covid-19. Kami sentiasa memberi komitmen untuk memastikan kejohanan ini berlangsung dengan jayanya," katanya sambil menambah setiap pemain masih bersemangat untuk beraksi.

BWF berkata, kesemua pemain perlu melalui ujian wajib seterusnya pada esok.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 12:47 PM