Aksi beregu campuran negara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing ketika menyertai kejohanan. FOTO File NSTP
Aksi beregu campuran negara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing ketika menyertai kejohanan. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tiada istilah mengalah di dalam diri pemain beregu campuran negara, Lai Pei Jing selepas diketepikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Sebaliknya perjuangan perlu diteruskannya seperti biasa bagi mengabdikan diri dalam sukan yang dicintai sejak zaman kanak-kanak.

Lebih menggembirakan, Pei Jing mendapat sokongan padu daripada pasangannya, Tan Kian Meng yang sanggup membuat keputusan mengejut meninggalkan BAM walaupun badan induk berkenaan sudah mempunyai perancangan awal buat bekas pemain perseorangan lelaki negara itu.

"Ini bukan satu perjalanan yang mudah tapi untuk menyerah kalah ia tidak ada dalam kamus hidup saya," kata Pei Jing.

Pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu ternyata tersentuh dengan pengorbanan Kian Meng kerana masih mempercayai kemampuannya dan menyatakan kesediaan untuk meneruskan perjuangan walaupun terpaksa bergerak secara profesional.

"Satu penghargaan istimewa buat pasangan saya (Kian Meng) kerana masih lagi mempercayai kemampuan saya. Dia mempunyai semangat untuk menyertai saya dalam perjalanan baharu yang bakal ditempuhi.

"Kami akan sama-sama memburu impian bersama. Tidak lupa juga kepada usaha dan sokongan pasukan di sebalik tabir. Semua penaja, serta rakan sepasukan lain yang akan terus menjadi sebahagian daripada keluarga saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 8:24 PM