NAZRULERWAN (kiri)  harap dapat memperbaiki segala masalah seterusnya bersedia untuk perlawanan pertama Piala Malayia. FOTO Ihsan Facebook Kelantan United
NAZRULERWAN (kiri) harap dapat memperbaiki segala masalah seterusnya bersedia untuk perlawanan pertama Piala Malayia. FOTO Ihsan Facebook Kelantan United
BERNAMA

Kota Bharu: Penundaan tarikh saingan Piala Malaysia 2020 memberi peluang kepada Kelantan United sebagai pendatang baharu memperbaiki kelemahan pasukan itu sementara menanti undian perlawanan pusingan pertama yang dijangka berlangsung minggu hadapan.

Ketua jurulatih Kelantan United, Nazrulerwan Makmor mengakui pasukan itu masih banyak kelemahan berdasarkan aksi mereka pada saingan Liga Perdana sebelum ini sehingga meletakkan pasukannya dalam kedudukan agak 'tertekan'.

"Justeru, saya harap dalam masa yang ada ini kami dapat memperbaiki segala masalah seterusnya bersedia untuk perlawanan pertama.

"Pasukan perlu lebih bersedia kerana lawan yang menanti kemungkinan daripada pasukan liga teratas (Liga Super) dan kesilapan kecil sahaja akan 'membunuh' langkah pasukan untuk layak beraksi pada perlawanan seterusnya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 13 Oktober lalu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat keputusan untuk meminda tarikh asal saingan Piala Malaysia daripada 25 dan 26 Oktober kepada 6 hingga 8 November ini, yang dilakukan selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, ekoran peningkatan kes positif Covid-19 di negara ini.

Sementara itu, Penolong pengurus Kelantan United Nik Khuzaimi Nudin berkata tempoh rehat ketika ini membolehkan skuad bimbingan Nazrulerwan dapat mempersiapkan diri sebaik mungkin daripada segi taktikal mahupun teknikal.

"Pemain yang cedera juga sempat pulih dan ini satu perkembangan baik kepada Kelantan United. Setakat ini persiapan kita lancar, setiap pemain juga bersemangat setiap kali sesi latihan dan saya harap perwatakan ini diteruskan tanpa mengira siapa lawan kita bila kempen Piala Malaysia bermula," katanya.

Beliau berkata Nazrulerwan juga dalam proses memaksimumkan tahap pemain, seterusnya memastikan mereka dapat mencapai keputusan serta beraksi dengan baik apabila saingan bermula.

"Begitu juga kehadiran pemain muda kami diharapkan dapat memberi impak serta cabaran kepada pemain senior pasukan lawan. Kita dapat lihat pemain muda yang dipanggil daripada skuad Piala Presiden Kelantan United menunjukkan kematangan dan komitmen bila berlatih.

"Jika mereka terus fokus, tidak mustahil mereka boleh meningkatkan keupayaan seterusnya merebut tempat dalam senarai pemain bila saingan sebenar berlangsung nanti," katanya.

Saingan Piala Malaysia menghimpunkan 11 pasukan terbaik Liga Super dan lima pasukan terbaik Liga Perdana, dengan dijalankan dalam format baharu iaitu perlawanan satu pusingan kalah mati.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 7:38 PM