AIDIL anggap Piala Malaysia saingan mencabar buat Kedah musim ini. FOTO NSTP
AIDIL anggap Piala Malaysia saingan mencabar buat Kedah musim ini. FOTO NSTP
Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Sekalipun Kedah selaku naib juara Piala Malaysia musim lalu diramalkan berada dalam kelompok tumpuan untuk menjadi juara pada saingan musim ini, pengendali Kedah Aidil Sharin Sahak tetap melihat saingan Piala Malaysia musim ini pula sebagai laluan yang sukar dan penuh cabaran buat skuadnya.

Menurut jurulatih berusia 43 tahun yang juga bekas pemain tengah itu, beliau tidak mahu menduga tahap peluang berkenaan dengan mudah, sebaliknya mahu lebih menumpukan fokus serta usaha yang mampu dilakukan Kedah dalam memberi saingan terbaik pada saingan itu nanti.

"Saya jangkakan satu pertembungan yang sangat sengit antara pasukan yang dikatakan pilihan atau 'favourite' seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor, Terengganu FC (TFC), Perak dan juga Pulau Pinang yang dilaporkan media mampu melengkapkan saingan musim ini dengan piala.

"Ini bukan satu anggapan mudah kerana kita perlu lihat dahulu bagaimana kedudukan undian yang terhasil untuk Piala Malaysia yang akan dilakukan pada November nanti sebelum dapat kita membuat sebarang andaian awal.

"Selepas mendapat maklumat laluan yang akan ditempuhi, dari situ barulah kita dapat merancang dan menyusun dengan lebih lanjut mengenai strategi yang lebih tepat dalam membuat sebarang perancangan." katanya.

Menyentuh mengenai format kalah mati yang diperkenalkan untuk saingan itu nanti, jurulatih kelahiran Singapura yang juga anak didik bekas jurulatih Kedah, Robert Alberts itu turut berkata, ia hanya akan menambahkan lagi kerancakan yang bakal di tampil semua pasukan berbanding musim sebelumnya.

"Ini begitu berbeza dengan musim lalu kerana pada saingan kalah mati kali ini, sudah pasti semua pasukan akan turun dengan semangat habis-habisan atau 'all out' dalam mencari kemenangan dalam saingan itu nanti.

"Pasukan 'underdog' juga dilihat berkemampuan mengejutkan mana-mana pasukan pilihan dan ini boleh berlaku jika tersilap percaturan termasuk gagal membaca kekuatan sebenar pihak lawan.

"Oleh itu banyak perkara yang perlu dilihat termasuk membabitkan taktikal pasukan, kemampuan pihak lawan, kecergasan pemain yang tinggi termasuk sokongan moral daripada pengurusan juga menjadi antara faktor yang mampu menghasilkan kejayaan buat mana-mana pasukan tidak kira sama ada mereka pasukan pilihan atau sebaliknya." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 2:38 PM