AKSI  Alcantara (kiri) ketika menentang  Everton  pada 17  Oktober lalu. FOTO AFP
AKSI Alcantara (kiri) ketika menentang Everton pada 17 Oktober lalu. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp berkata Joel Matip, Naby Keita dan Thiago Alcantara tidak cukup cergas menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Midtjylland, minggu ini.

Ketika ditanya sama ada trio terbabit akan beraksi menentang juara liga Denmark itu, Klopp berkata: "Saya tak fikir. Ia masih sama seperti saya katakan minggu lalu. Kami akan memantaunya dari hari ke hari tetapi nampaknya kami perlukan beberapa hari lagi.''

"Jadi untuk perlawanan itu, mereka mungkin tidak bersedia."

Juara bertahan Liga Perdana dan enam kali bergelar Raja Eropah, Liverpool menerima kunjungan Midtjylland yang tewas 0-4 kepada Atalanta dalam saingan Kumpulan D.

Pertahanan Reds, Matip tersisih sejak 'derby' Merseyside pada 17 Oktober manakala Thiago berdepan kecederaan lutut ketika seri di Goodison Park.

Pemain tengah Keita, kembali berlatih selepas didapati negatif ujian koronavirus dan tidak beraksi sejak dikeluarkan ketika tewas 2-7 kepada Aston Villa sejurus sebelum rehat antarabangsa.

Midtjylland hanya ditubuhkan pada 1999 tetapi Klopp enggan menganggap ia pertemuan antara 'David dan Goliath'.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 11:31 PM