STUART berkata FAM menghormati proses perundangan FIFA terlebih dahulu. FOTO Owee Ah Chun
STUART berkata FAM menghormati proses perundangan FIFA terlebih dahulu. FOTO Owee Ah Chun
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan pertikaian membabitkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dan bekas pemainnya, Mohamadou Sumareh berkaitan isu hukuman dijatuhkan oleh badan induk bola sepak negeri itu.

Sebaliknya Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memaklumkan bahawa FAM menghormati proses perundangan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut.

Pada masa sama, beliau juga mengesahkan ada menerima surat keputusan daripada PBNP yang menjatuhkan hukuman terhadap Sumareh berkaitan kesalahan yang dilakukan sebelum ini.

"Seperti yang ditegaskan oleh FAM sebelum ini, pertikaian di antara PBNP dan Sumareh kini dalam siasatan FIFA dan lantaran itu, FAM perlu menghormati proses perundangan badan induk dunia terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut.

Justeru itu, untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan, FAM tidak akan memberi sebarang ulasan berhubung perkara ini sehingga FIFA membuat keputusan di peringkat Majlis Penyelesaian Pertikaian (DRC) FIFA," katanya, di sini.

Semalam Jawatankuasa Tatatertib PBNP mengenakan hukuman gantung dua tahun ke atas Sumareh daripada terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak selepas didapati bersalah melanggar terma kontrak dengan badan induk itu.

Sebanyak empat pertuduhan terhadapnya termasuk melanggar artikel 4.11 kontrak pemain dan artikel 10.05 perlembagaan PBNP 2004 iaitu membuat kenyataan akhbar tanpa mendapat kebenaran PBNP.

Pertuduhan lain menyaksikan Sumareh didapati bersalah melanggar artikel 6.6 kontrak pemain di mana merujuk perkara itu terus kepada FIFA (Disppute Resolution Chamber) tanpa terlebih dahulu kepada National Dispute Resolution Chamber FAM (NDRC).

Pemain Harimau Malaya itu juga didapati bersalah melanggar artikel 5.1 kontrak pemain di mana dia gagal menghadirkan diri ke sesi latihan bersama skuad Pahang bermula 3 Ogos-28 Ogos selain kesalahan gagal menghadirkan diri pada aksi Liga Super antara Pahang bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Kuantan pada 28 Ogos lalu.

Sebelum ini Sumareh mencetuskan kontroversi apabila tidak menyertai latihan bersama skuad Pahang kira-kira sebulan pada Ogos lalu dan difahamkan tindakannnya itu disebabkan kerana masalah pembayaran gaji dengan PBNP.

Malah, Sumareh didakwa sudah membatalkan kontrak bersama Tok Gajah dengan mengaktifkan klausa 8.7 dalam kontraknya sebelum menyertai kelab Police Tero FC di Liga Thailand bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 8:19 PM