Skuad Sabah yang beraksi dalam Liga Super musim ini. FOTO Ihsan Sabah FA
Skuad Sabah yang beraksi dalam Liga Super musim ini. FOTO Ihsan Sabah FA
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto menerima dengan hati terbuka keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tidak meluluskan permohonan laluan khas pasukannya untuk menghadapi perlawanan Liga Super menentang UiTM FC di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.

Meskipun mengakui sedikit sedih dengan keputusan MKN itu selepas semua pemain sudah bersedia dan tidak sabar untuk ke Melaka bagi aksi terakhir liga serta mempersiapkan diri bagi mengharungi Piala Malaysia, Kurniawan menganggap ia sebagai ujian sambil nasib tidak menyebelahi pasukannya.

Beliau percaya keputusan yang dibuat oleh MKN ini adalah demi mengutamakan keselamatan semua pihak susulan penularan wabak Covid-19 yang masih membimbangkan khususnya di Sabah ketika ini.

"Tentulah keputusan ini masih mengejutkan kami semua tetapi saya bersama pemain memahami hal ini kerana semestinya kita harus tetap mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh MKN dan pihak kerajaan, jadi sebagai warga negara yang prihatin, kami menerima keputusan ini.

"Menurut saya, apabila MKN mengeluarkan arahan ini yang tidak membenarkan kami ke Semenanjung, pastinya mereka ada alasan tersendiri dan semestinya ini adalah demi menjaga keselamatan lebih banyak orang, jadi kami ikhlas menuruti arahan yang dikeluarkan itu.

"Apa-apa pun ini tidak akan melunturkan semangat kami untuk memastikan kami satu pasukan terus kuat bagi mengharungi musim 2021 nanti walaupun hakikatnya ketika ini, pastinya semua masih sedih kerana tidak dapat beraksi dan terpaksa melupakan aksi Piala Malaysia.

"Tetapi tidak mengapalah, yang penting adalah agar pandemik Covid-19 ini cepat berlalu dan saya mohon doa orang ramai agar keadaan lebih baik di sini," katanya.

Melihat situasi ini, tiga mata diberikan kepada pasukan UiTM FC apabila perlawanan terbabit tidak akan berlangsung, Sabtu ini.

Selepas tidak mendapat lampu hijau daripada MKN, ini bermakna Sabah juga tidak akan bermain dalam saingan Piala Malaysia selepas melihat tempoh kuarantin kendiri wajib selama 14 hari sekiranya tiba di Semenanjung hari ini sudah melangkaui tarikh perlawanan pusingan pertama kejohanan tertua itu.

Walau bagaimanapun, Sabah tetap kekal sebagai pasukan Liga Super bagi musim depan dan tiada hukuman dikenakan kepada mereka berhubung isu ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 6:54 PM