JURULATIH Antwerp, Ivan Leko (kanan) meraikan kemenangan bersama pemainnya selepas menewaskan Spurs. FOTO AFP
JURULATIH Antwerp, Ivan Leko (kanan) meraikan kemenangan bersama pemainnya selepas menewaskan Spurs. FOTO AFP
AFP

Paris: Jose Mourinho berkata, dia lebih suka membuat 11 pertukaran pada babak pertama selepas Tottenham Hotspur tewas mengejut 0-1 dalam aksi Liga Europa di Royal Antwerp manakala pendahulu Serie A, AC Milan dan skuad Mikel Arteta, Arsenal mencapai kemenangan.

Spurs gagal mencipta walaupun satu peluang dengan Gareth Bale yang menyertai kelab secara pinjaman daripada Real Madrid digantikan kurang satu jam selepas permainan.

Mourinho yang membuat empat pertukaran ketika rehat mengeluarkan Dele Alli dan bercadang tidak akan menurunkan barisan kedua dengan lebih kerap pada masa depan.

"Saya lebih suka membuat 11 pertukaran. Saya tidak keluarkan lima kerana saya risau 45 minit lagi," kata pengendali dari Portugal itu selepas Spurs kali pertama tewas di tempat lawan sejak Julai lalu.

"Pada babak pertama saya cuba memperbaiki situasi tetapi ternyata tidak cukup. Babak kedua kami bertambah baik tetapi penghujungnya, Antwerp mendapat apa yang mereka mahukan. Pasukan lebih baik menang dan yang buruk tewas.

"Saya selalu fikir pemain berhak diberikan peluang. Kami ada skuad besar dan ia peluang buat mereka untuk buktikan kemampuan tetapi malam ini, pilihan akan datang kini menjadi lebih mudah."

Kemenangan itu melonjakkan Antwerp ke puncak Kumpulan J selepas menang 2-1 di Ludogorets minggu lalu.

Kelab Belgium itu beraksi dalam saingan Eropah kali pertama sejak tewas pusingan pertama UEFA kepada Newcastle United in 1994.

Tuan rumah mendahului pada minit ke-29 menerusi rembatan penyerang, Lior Refaelova yang tidak dikawal dalam kotak penalti selepas mendapat hantaran Dieumerci Mbokani.

Mourinho memasukkan Harry Kane menggantikan Bale untuk menggandakan asakan tetapi tetap gagal menembusi gawan lawan sehingga tamat permainan.

Milan pula meraih kemenangan kedua dalam Kumpulan H selepas menewaskan Sparta 3-0 dengan Zlatan Ibrahimovic gagal menjaringkan penalti pada babak pertama.

Jaringan Brahim Diaz, Rafael Leao dan pemain sayap pinjaman dari Manchester United, Diogo Dalot menyaksikan Milan melebarkan kemenangan kepada 23 perlawanan dalam semua kejohanan.

Skuad Stefano Pioli kini dua mata mengatasi Lille yang bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Celtic 2-2 di tempat sendiri.

"Kami tidak fikir mengenai statistik itu, kami hanya fokus aksi seterusnya," kata Pioli.

"Hanya beberapa bulan lalu, ramai menganggap kami pasukan buruk dan sekarang kami membuktikan sebaliknya.

"Milan kelab hebat dengan tradisi fantastik dan kami kerap bermain dengan cita-cita besar."

PEPE (dua dari kiri) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol. FOTO AFP
PEPE (dua dari kiri) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol. FOTO AFP

Sementara itu, Arsenal mengatasi cabaran kental skuad Dundalk 3-0 di Stadium Emirates.

Pelawat dari Ireland itu mengekang asakan Gunners sehingga minit ke-41 tetapi jaringan Eddie Nketiah dan Joe Willock meletakkan tuan rumah di depan sebelum tamat babak pertama. Nicolas Pepe melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga menerusi rembatan pada babak kedua.

Napoli pula yang tewas aksi pembukaan kepada AZ Alkmaar bangkit menewaskan pendahulu La Liga, Real Sociedad 1-0 dalam aksi Kumpulan F.

Jamie Vardy meledak penalti bagi membantu Leicester City meraih kemenangan kedua dalam Kumpulan G selepas mengatasi cabaran AEK Athens 2-1 di tempat lawan manakala dua jaringan lewat Paco Alcacer membantu Villarreal menewaskan Qarabag 3-1 dalam Kumpulan I.

Skuad Steven Gerrard, Rangers turut mencipta kemenangan kedua dalam Kumpulan D dengan menewaskan Lech Poznan 1-0 tetapi Benfica menduduki tangga teratas selepas menundukkan Standard Liege 3-0.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 7:38 AM