Divock Origi. FOTO LFC
Divock Origi. FOTO LFC
Agensi

London: Divock Origi dilaporkan mungkin meninggalkan Liverpool menerusi pinjaman pada awal 2021 dengan penyerang itu terdesak memburu tempat dalam skuad Belgium bagi Kejohanan Euro pada musim panas akan datang.

Pemain berusia 25 tahun itu hanya membuat penampilan tiga kali buat skuad Reds musim ini dan dua daripadanya pada aksi Piala Liga, selepas sukar merebut tempat dalam barisan utama juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Origi tidak disenaraikan dalam skuad Liverpool pada dua perlawanan terakhir EPL, sekalipun dia beraksi berdepan FC Midtjylland dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) pada Rabu.

Penyerang itu menandatangani kontrak baharu lima tahun bersama skuad Jurgen Klopp pada pertengahan tahun lalu, bermakna kontraknya di Anfield akan tamat sehingga musim panas 2024.

Bagaimanapun, menurut Liverpool Echo, Origi mungkin sedang merancang untuk keluar dari kelab itu pada jendela perpindahan Januari, kemungkinan sebagai pemain pinjaman ketika dia mengintai tempat dalam skuad utama Belgium bagi menyertai Kejohanan Euro 2020.

Penyerang versatil yang sudah menjaringkan 35 gol dalam 143 penampilan buat Liverpool pada semua kejohanan termasuk jaringan pada final UCL 2018-19 menewaskan Tottenham Hotspur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 8:38 PM