Mikel Arteta mahu perbaiki rekod buruk Arsenal berdepan Man United dalam EPL di Old Trafford. FOTO AFP
Mikel Arteta mahu perbaiki rekod buruk Arsenal berdepan Man United dalam EPL di Old Trafford. FOTO AFP
Agensi

Manchester: Barisan serangan Manchester United mempunyai persefahaman yang semakin baik hingga menjadikan mereka antara ancaman utama dalam saingan Liga Perdana Inggeris, (EPL) kata bos Arsenal, Mikel Arteta.

United sukar ditewaskan pada 13 perlawanan terakhir EPL di halaman sendiri berdepan Arsenal yang juga musuh tradisi di Old Trafford malam esok.

Trio serangan United seperti Marcus Rashford, Anthony Martial dan Mason Greenwood menghasilkan gabungan 62 gol dalam semua kejohanan musim lalu.

Malah pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer menambah pilihan di jentera serangan dengan menandatangani pemain antarabangsa Uruguay, Edinson Cavani bulan lalu.

Dengan Daniel James dan Odion Ighalo turut berada dalam senarai itu, Arteta berkata United mempunyai beberapa pilihan untuk mengubah gaya permainan mereka.

''Mereka ada persefahaman yang sangat baik dan mempunyai karakter berbeza,'' kata Arteta.

''Mereka sama-sama menyinar, mempunyai persefahaman dan keserasian yang sangat baik di padang. Anda dapat melihatnya.

''Sejak perintah berkurung, Ole berjaya menampilkan peningkatan mendadak dan anda dapat lihat pada penghujung musim lalu, jumlah gol dan cara jaringan yang dihasilkan mereka. Mereka merbahaya.

''Mereka boleh beraksi dua atau tiga formasi berbeza. Mereka akan melakukan beberapa perubahan kerana lawan mereka, kerana kualiti pemain yang mereka ada dan kadang kala untuk mengubah rentak dalam masa tertentu.

''Kami harus bersedia dengan perlawanan ini, mereka mempunyai skuad besar dan barisan depan dengan pilihan yang banyak untuk melakukan pelbagai perkara.

Arteta berharap dapat menamatkan rekod buruk Arsenal berdepan United di Old Trafford, dengan kali terakhir Gunners menewaskan lawan mereka dalam saingan liga utama itu pada 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 8:21 PM