Aksi pemain Felda United ketika bertemu Pahang dalam saingan Liga Super. FOTO Ihsan Felda United FC.
Aksi pemain Felda United ketika bertemu Pahang dalam saingan Liga Super. FOTO Ihsan Felda United FC.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Sekalipun dilihat pintu untuk beraksi pada musim depan untuk Felda United dan UKM FC seakan sudah tertutup, kedua-dua pasukan enggan mengaku kalah apabila akan mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pengurusan kedua-dua pasukan tetap mahu memastikan mereka dapat beraksi walaupun gagal dalam penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat seterusnya tidak boleh menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Kegagalan terbabit selepas penelitian dilakukan FAM terhadap dua pasukan itu mendapati kedudukan kewangan pelabur baharu untuk menampung kos pengendalian bagi saingan musim depan didapati tidak cukup kukuh.

Paling awal mengemukakan rayuan adalah The Fighters Sdn Bhd yang sudah berbuat demikian selepas mengetahui keputusan terbabit baru-baru ini.

Wakil The Fighters Sdn Bhd yang juga bekas Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman mengesahkan pihaknya sudah mengemukakan rayuan kepada FAM.

"The Fighters Sdn Bhd sudah hantar surat rayuan dan minta dalam tempoh 14 hari bekerja untuk mengemukakan dokumen pendanaan.

"Kami yakin dan percaya kami bekerjasama dengan syarikat korporat yang mempunyai kewangan kukuh dan berdaya saing," katanya.

Sementara itu, sumber UKM FC turut menjelaskan pasukan berstatus universiti itu juga akan mengemukakan rayuan kepada FAM berhubung perkara itu.

"Kami sedia maklum dengan keputusan FAM dan akan mengemukakan rayuan untuk mendapatkan pertimbangan daripada badan induk itu," kata sumber berkenaan.

Terdahulu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam dalam kenyataan menjelaskan pihaknya mendapati kedudukan kewangan melalui pelabur baharu kedua-dua pasukan itu tidak cukup kukuh untuk mereka mengharungi satu musim penuh liga pada 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 9:29 PM