Fatehah memenangi empat pingat emas dalam acara basikal trek Sukan Sea KL2017. FOTO NSTP
Fatehah memenangi empat pingat emas dalam acara basikal trek Sukan Sea KL2017. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Mereka yang ingin mengikuti jejak langkah pelumba negara, Fatehah Mustapa dinasihatkan untuk terus menjalani latihan biarpun Program Pencarian Bakat bagi sukan berbasikal itu terpaksa ditangguhkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ini kerana program yang sepatutnya bermula pada 24 Oktober lalu di Zon Tengah itu akan tetap diteruskan dengan tarikh baharu akan dimaklumkan kelak.

Menurut ketua jurulatih program pelapis kebangsaan, Suod Hussain mana-mana peserta yang mempunyai tahap kecergasan yang tinggi akan menjadi kelebihan buat mereka apabila program berkenaan dilancarkan.

Kata Suod, ketika ini seramai 103 peserta sudah mendaftarkan diri dan ia memberi satu petanda positif terhadap usaha Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mencari pengganti kepada ratu basikal trek negara itu.

"Saya optimis untuk mencari bakat baru dan percaya lebih ramai atlet wanita akan dapat dicungkil daripada program ini.

"Ketika zaman Fatehah (2002) kami hanya melakukan pencarian bakat itu di Terengganu dan ketika itu seramai lima atlet dikenal pasti.

"Jadi dengan adanya program ini saya percaya mungkin kita boleh mendapat dalam 15 atlet berbakat untuk diketengahkan dan mungkin kita akan dapat menghasilkan atlet yang lebih baik dari Fatehah," katanya.

Program yang sepatutnya bermula di Zon Tengah pada 23 Oktober lalu akan turut menjelajah ke Zon Timur, Selatan, Sabah dan Sarawak.

Kemampuan Fatehah sebagai pelumba trek negara tidak perlu disangkal dengan kejayaannya muncul juara Asia dalam acara pecut di New Delhi pada 2013.

Dia turut meraih gangsa dalam acara yang sama di Sukan Komanwel Glasgow selain pernah beraksi dua kali di pentas Olimpik London dan Rio.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 9:58 PM