Pemain Kuching FA meraikan kejayaan menewaskan KL dan menduduki tangga keempat Liga Perdana di Stadium Hang Jebat. FOTO Nazri Abu Bakar
Pemain Kuching FA meraikan kejayaan menewaskan KL dan menduduki tangga keempat Liga Perdana di Stadium Hang Jebat. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kuching FA berjaya meraih kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur (KL) pada aksi terakhir Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, sebentar tadi.

Kejayaan terbabit jelas tonik berharga buat skuad berkenaan bagi mengharungi pentas Piala Malaysia musim ini.

Aksi yang terpaksa dilangsungkan di Melaka susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di ibu negara menyaksikan KL lebih banyak mengatur serangan pada awal babak permainan.

Bagaimanapun, Kuching yang sesekali menyerang berjaya menghasilkan jaringan pertama mereka menerusi penyudah berkesan Bryan Anicezio pada minit ke-17 perlawanan.

Ketika KL bingkas merencana strategi untuk mencari gol penyamaan gawang mereka sebaliknya kembali bocor kali ini menerusi rembatan kencang Yuta Suzuki pada minit ke-34 untuk menambah jaringan kedua pelawat.

Bersambung babak kedua jurulatih KL, Nidzam Adzha Yusoff cuba menukar format pergerakan dengan memasukkan bekas pemain kebangsaan Indra Putra Mahayuddin bagi menambah sengat barisan hadapan dalam misi memburu jaringan.

Hasilnya menarik, namun percubaan Indra pada minit ke-53 bagaimanapun berjaya diselamatkan penjaga gol Mohd Iqbal Mohd Suhimi.

Apa yang pasti keputusan terbabit menjadi suntikan semangat buat Kuching FA mengharungi saingan Piala Malaysia dalam kekangan pandemik Covid-19.

Kemenangan itu jelas meningkatkan motivasi mereka untuk berdepan lawan lebih berpengalaman di pentas saingan berprestij itu kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 11:40 PM