Jurulatih UKM FC memberi arahan kepada pemain ketika aksi Liga M baru-baru ini. FOTO Ihsan UKM FC
Jurulatih UKM FC memberi arahan kepada pemain ketika aksi Liga M baru-baru ini. FOTO Ihsan UKM FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Suntikan kewangan berjumlah RM3.5 juta oleh pemilik baharu, UKM FC bakal memastikan pasukan itu terus kekal bersaing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurut wakil pasukan yang dikendalikan oleh The Varsity Boys Sdn Bhd itu, pemilik baharu yang enggan didedahkan itu sudah bersetuju untuk menjadi pemilik penuh pasukan yang akan bersaing di Liga Perdana itu.

Katanya, segala dokumen berkenaan kedudukan kewangan akan diserahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi tindakan lanjut.

Jelasnya lagi, jumlah dana itu dijangka akan bertambah sekurang-kurangnya hingga ke RM5 juta selepas beberapa penaja lain turut menyatakan minat untuk bersama UKM FC.

"Kita yakin dan percaya, jumlah RM3.5 juta itu sudah mencukupi untuk kita bersaing dalam saingan Liga Perdana musim depan.

"Kita tak boleh berbelanja besar seperti pasukan lain, jadi kita akan berhemah dalam berbelanja. Contoh buat permulaan, mungkin kita hanya akan ambil dua saja pemain import dan bukannya tiga atau empat.

"Semua dokumen kewangan kita akan serahkan kepada FAM dan saya yakin kita boleh selesaikan serta dapat memastikan UKM FC terus bersaing musim depan," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, UKM FC dan Felda United terpaksa mengemukakan rayuan kepada FAM berhubung kegagalan permohonan mereka dalam penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat.

Badan induk berkenaan mengumumkan kedua-dua pasukan itu gagal dalam proses penswastaan FC bersyarikat sekali gus tidak boleh menyertai saingan Liga M pada musim depan.

Keputusan itu diambil selepas penelitian terhadap dua pasukan itu mendapati kedudukan kewangan pelabur baharu untuk menampung kos pengendalian bagi saingan musim depan didapati tidak cukup kukuh.

Menurut FAM lagi, keputusan itu bagi mengelak permasalahan berkaitan gaji pemain dan pegawai yang mungkin berlaku lagi pada musim 2021 sekiranya pasukan tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk bertahan sepanjang musim.

"Kami nak ucapkan terima kasih kepada FAM kerana menerima rayuan dan memberi tempoh dua minggu untuk selesaikan perkara ini.

"Kami harap rayuan ini diluluskan dan ia dapat beri peluang kepada pemain-pemain UKM FC untuk terus bermain di peringkat tertinggi," kata wakil pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 10:46 PM