Aleksandar Kolarov. FOTO Agensi
Aleksandar Kolarov. FOTO Agensi
AFP

Milan: Pemain pertahanan Inter, Aleksandar Kolarov diuji positif Covid-19 selepas kembali daripada tugas antarabangsa bersama Serbia.

Pemain berusia 35 tahun diuji positif hari ini sejurus kembali ke Itali selepas dia dimasukkan sebagai pemain gantian ketika tewas dalam penentuan penalti kepada Scotland sekali gus menafikan tempat mereka pada saingan Kejohanan Eropah tahun depan.

Inter berkata Kolarov tidak mempunyai gejala tetapi dia dijangka terlepas perlawanan Serie A menentang Torino pada Ahad dan aksi timbal balik Liga Juara-Juara berdepan Real Madrid, minggu depan.

Inter dalam satu kenyataan berkata: "FC Inter Milan mengesahkan bahawa Aleksandar Kolarov diuji positif selepas dia menjalani pemeriksaan sekembalinya dari tugas antarabangsa.

"Pemain itu tidak menunjukkan simptom dan akan mengikuti semua garis panduan serta syarat ditetapkan oleh pihak berkuasa kesihatan."

Kolarov melakukan enam penampilan dalam semua kejohanan buat Inter pada musim ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 10:42 AM