HISHAMUDDIN menjelaskan TFC Sdn Bhd akan memulakan pentadbiran dengan sifar hutang selain tanpa bebanan. FOTO NSTP/IHSAN PEMBACA
HISHAMUDDIN menjelaskan TFC Sdn Bhd akan memulakan pentadbiran dengan sifar hutang selain tanpa bebanan. FOTO NSTP/IHSAN PEMBACA
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd yang bertanggungjawab menguruskan pasukan Terengganu FC (TFC) dan 'adiknya' TFC II boleh menarik nafas lega apabila hampir 90 peratus hutang lapuk dilunaskan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Hutang berkenaan membabitkan tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menelan bajet jutaan ringgit.

Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim menjelaskan TFC Sdn Bhd akan memulakan pentadbiran dengan sifar hutang selain tanpa bebanan.

"TFC kini boleh diuruskan tanpa bebanan walaupun pihak persatuan masih ada sedikit lagi baki hutang, tapi yang penting-penting iaitu KWSP dan LHDN dah selesai," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penyusunan semula kewangan pasukan begitu penting sebagai langkah penjimatan bagi persediaan musim 2021 lebih-lebih lagi TFC bakal bersaing dalam pentas Piala AFC selain Liga Malaysia.

"Penyusunan semula kewangan sangat penting dan kita akan kekalkan langkah penjimatan sebanyak 20 peratus bagi persediaan musim depan.

"Ini kerana kita akur untuk ukur baju di badan sendiri ketika berbelanja berbanding pasukan-pasukan lain, tapi itu bukan halangan.

"Setakat ini ramai pemain tempatan mahupun import mahu sertai TFC kerana tahu tiada isu gaji dan kita mahu kekalkan persepsi itu," katanya.

Pada pertengahan bulan lalu, TFC Sdn Bhd mula diterajui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh yang juga bekas orang kuat pasukan kelab, T-Team manakala Ketua Pegawai Operasi disandang Mohd Sabri Abas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 5:59 PM