ABRAHAM meraikan gol kedua Chelsea. FOTO Agensi
ABRAHAM meraikan gol kedua Chelsea. FOTO Agensi
AFP

Newcastle: Chelsea menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama dalam tempoh dua tahun selepas mencatat kemenangan meyakinkan 2-0 ke atas Newcastle sebentar tadi.

Pasukan bimbingan Frank Lampard melonjak mengatasi Leicester dengan perbezaan jaringan dan harus berterima kasih dengan gol sendiri Federico Fernandez pada separuh masa pertama sebelum Tammy Abraham menambah gol kedua sebaik rehat permainan.

Chelsea sekarang ini tidak pernah tewas selepas sembilan perlawanan dalam semua kejohanan dan belum tumpas bagi enam perlawanan terakhir liga.

Dengan lima saingan tanpa bolos dalam enam perlawanan terakhir bagi semua kejohanan, kemenangan aksi liga tiga kali berturut-turut adalah permulaan baik sebelum saingan bertambah sengit sehingga sambutan Krismas.

Maurizio Sarri membimbing Chelsea ketika kali terakhir mereka berada di tangga pertama EPL pada September 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 10:55 PM