Giovani Lo Celso (kanan) meraikan kemenangan Tottenham bersama Hugo Lloris (kiri) selepas menewaskan Manchester City. FOTO Agensi
Giovani Lo Celso (kanan) meraikan kemenangan Tottenham bersama Hugo Lloris (kiri) selepas menewaskan Manchester City. FOTO Agensi
AFP

London: Tottenham melonjak ke kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan bergaya 2-0 ke atas Manchester City sementara Chelsea di tangga kedua selepas mengalahkan Newcastle juga dengan jaringan sama.

Manchester United kekal di kedudukan ke sembilan selepas berjaya mencatat kemenangan pertama di laman sendiri dalam tujuh saingan Liga Perdana ketika Bruno Fernandes menjaringkan gol penalti mengatasi West Brom, 1-0.

Spurs mengakhiri saingan pagi ini dengan melonjak ke kedudukan teratas liga buat pertama kali dalam tempoh enam tahun ketika jaringan oleh Son Heung-min dan Giovani Lo Celso mengatasi City di Stadium Tottenham Hotspur.

Tottenham mendahului selepas lima minit permainan ketika Heung-min meluru ke arah bola umpanan Tanguy Ndombele untuk mengatasi perangkap ofsaid City dan memastikan jaringan menewaskan Ederson buat gol ke-11 peribadinya musim ini.

City menguasai permainan tetapi bergelut untuk mencipta peluang dan sekali lagi dihukum dengan jaringan kedua menerusi satu lagi percubaan tepat Spurs.

Lo Celso yang di bawa masuk dari tempat duduk pemain simpanan menjaringkan gol hanya 35 saat ketika berada dalam padang selepas dia memanfaatkan hantaran Harry Kane untuk mengatasi jangkaan Ederson.

Pada hari ulang tahun setahun pelantikan Jose Mourinho, Tottenham sukar ditewaskan dalam lapan perlawanan liga sejak tewas kepada Everton pada perlawanan pembukaan mereka, sekali gus memberi harapan menjadi antara pasukan pencabar kejuaraan.

"Pemain memberikan segalanya dan mengikuti strategi. Mereka sangat menakjubkan," kata Mourinho.

"Kami mengenal pasti cara untuk bermain dan ia sangat hebat untuk melihat bagaimana mereka lakukannya."

Tottenham, kali terakhir memenangi kejuaraan liga utama pada 1961, mendahului Chelsea dengan dua mata dan kedua-dua pasukan bakal bertemu minggu depan.

City di tangga ke-11, lapan mata di belakang pendahulu liga selepas lapan perlawanan.

Keputusan Liga Perdana Inggeris:

Aston Villa 1 (Konsa 47) Brighton 2 (Welbeck 12, March 56)

Newcastle 0 Chelsea 2 (Fernandez 10-gs, Abraham 65)

Tottenham 2 (Son 5, Lo Celso 65) Manchester City 0

Manchester United 1 (Fernandes 56-pen) West Brom 0

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 8:18 AM