Pengurus Manchester City, Pep Guardiola. FOTO AFP
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola. FOTO AFP
AFP

London: Pep Guardiola mengakui Manchester City beraksi baik sebelum tumpas kepada Tottenham tatkala Spurs melonjak ke kedudukan teratas liga selepas mencatat kemenangan 2-0 menerusi jaringan Son Heung-min dan Giovani Lo Celso.

Spurs tidak memenangi kejuaraan liga utama Inggeris dalam tempoh 60 tahun, tetapi menunjukkan ciri sebagai calon pencabar kejuaraan dengan corak bertahan baik untuk menghampakan City.

Sekalipun City menguasai perlawanan dan gagal memanfaatkan rentetan peluang menghasilkan jaringan ketika Spurs hanya memanfaatkan dua peluang percubaan tepat mereka menghasilkan gol dalam perlawanan itu.

Kekalahan itu meninggalkan City lapan mata di belakang pendahulu liga, di kedudukan ke-11 hanya dengan tiga kemenangan daripada lapan perlawanan awal mereka.

"Rekod menunjukkan segalanya, kami lebih baik dari semua sudut tetapi kami melepaskan jaringan selain mempersia-siakan peluang menjaringkan gol." kata Guardiola.

"Ia adalah senario yang sempurna buat mereka. Kami tahu (Harry) Kane ke belakang dan Son pantas menyambar peluang. Kami harus bertahan dengan lebih baik."

Guardiola menamatkan spekulasi mengenai masa depannya dengan menandatangani kontrak baharu minggu ini sebagai pengendali City hingga 2023.

Pengendali dari Catalan itu memenangi lapan kejuaraan liga di Barcelona, Bayern Munich dan City, tetapi Guardiola kini berdepan cabaran baharu dalam meneruskan pencapaian mengekalkan kejuaraan gelaran di kelab sama.

Dalam enam perlawanan liga berturut-turut City gagal untuk menjaringkan gol lebih daripada satu dan tampak sukar kembali dengan pencapaian sebagai pasukan yang kerap menjaringkan gol ketika memenangi kejuaraan berturut-turut pada 2017/18 dan 2018/19.

"Kami bergelut menjaringkan gol musim ini, ia boleh berlaku," tambah Guardiola.

"Mereka mempunyai percubaan tepat dua kali, memperoleh dua gol dan kami tidak boleh menjaringkan gol dalam 22 percubaan."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 9:14 AM