Bruno Fernandes menjaringkan gol tunggal kemenangan Manchester United menerusi penalti. FOTO Agensi
Bruno Fernandes menjaringkan gol tunggal kemenangan Manchester United menerusi penalti. FOTO Agensi
AFP

Manchester, United Kingdom: Bruno Fernandes berkata Manchester United mempunyai kualiti melakukan yang "lebih baik" selepas penaltinya memberikan kemenangan 1-0 ke atas pasukan tercorot liga, West Brom, pagi ini.

Keputusan itu sekali gus menamatkan deretan enam perlawanan Liga Perdana Inggeris tanpa kemenangan di Old Trafford.

Pemain tengah Portugal, Fernandes menyaksikan sepakan penaltinya diselamatkan Sam Johnstone, tetapi berpeluang mengambil semula sepakan selepas penjaga gol itu didapati melepasi garisan pada sepakan pertama.

United sebelum itu diselamatkan Video Bantuan Pengadil (VAR) apabila penalti ke atas mereka, akibat kekasaran Fernandes ke atas Conor Gallagher, dibatalkan.

"Pertama sekali ia amat penting untuk memenangi perlawanan, bukan kerana ia kemenangan pertama di Old Trafford, tetapi kerana kami memerlukan mata." kata Fernandes kepada BT Sport.

"Kami boleh melakukannya dengan lebih baik, kami mempunyai kualiti untuk meningkat."

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer berada di tangga kesembilan dan hanya tujuh mata di belakang pendahulu, Tottenham yang bermain lebih satu perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 9:31 AM