Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp. FOTO AFP
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata enam pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) akan kehilangan 11 pemain yang cergas sekiranya tiada perubahan dibuat untuk melindungi kebajikan mereka.

Berdepan krisis kecederaan, skuad The Reds akan beraksi tiga perlawanan dalam tempoh enam hari setengah pada minggu ini.

Skuad kendalian Klopp menewaskan Leicester City 3-0 semalam dan bakal melayan kunjungan Atalanta bagi aksi Liga Juara-Juara pada awal pagi Khamis ini sebelum bertemu Brighton untuk sepak mula jam 12.30 tengahari waktu tempatan, Sabtu ini.

"Jika kita terus beraksi pada Selasa malam dan 12.30 tengah hari pada Sabtu, saya tidak pasti kita dapat menamatkan musim dengan 11 pemain - semua pasukan enam ataupun tujuh teratas," kata Klopp dalam satu temubual bersama Sky Sport yang juga pemegang hak domestik terbesar bagi perlawanan EPL.

Dengan terma bernilai £4.5 bilion (RM24.6 bilion) selama tiga musim, Sky mendapat pilihan pertama untuk setiap pusingan perlawanan dan BT Sport memilih perlawanan tumpuan kedua.

Begitupun Klopp menjelaskan syarikat penyiaran perlu menyesuaikan diri dengan musim yang agak berbeza selepas jadual padat susulan daripada penangguhan tiga bulan pada musim lalu akibat pandemik Covid-19.

"Semua orang memberitahu kepada saya, ia adalah sukar tetapi ia lebih sukar kepada pemain. Itulah yang sukar sebenarnya. Selebihnya adalah keputusan daripada mereka yang berada dalam pentadbiran." tambah Klopp.

"Kalau ada lagi yang berkata mengenai kontrak kepada saya, saya akan jadi gila kerana kontrak tidak dibuat untuk musim Covid-19. Kita perlu menyesuaikan diri. Semuanya berubah tetapi kontrak dengan syarikat penyiaran tetap sama."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 9:36 AM